AWAL bulan lalu, saya bercuti ke Beijing dan Harbin selama sembilan hari. Seperti biasa, saya tidak membuat itinerari tetap kerana lebih suka menjelajah ikut cara sendiri.
Perjalanan saya bermula di Beijing. Sampai di bandar itu sekitar pukul 10 pagi, saya terus ke East Sacred Hotel. Alhamdulillah, boleh terus daftar masuk dan letak bagasi dalam bilik.
Biliknya kecil dan housekeeping agak ‘kelakar’ kerana hanya menukar tuala, sampah tidak dikutip dan cadar tidak tegang.
Namun, pengalaman terbaik di hotel itu adalah apabila Popmart adik tertinggal dalam bilik, pihak hotel membantu menghantarnya ke Harbin. Memang layanan ‘tip-top’.
Hari-hari di Beijing saya diisi dengan lawatan ke Forbidden City. Tempat ini sangat luas sehingga berjalan beberapa jam pun belum habis.
Selepas itu, saya singgah di Tiananmen Square dan Qianmen Street. Saya turut melawat tarikan utama iaitu Universal Studios Beijing.
Taman tema ini tidak terlalu besar tetapi paling menyeronokkan adalah decepticoaster dan Harry Potter rides.

Saya bawa roti dan coklat sebagai snek dan masa menunggu untuk naik setiap tarikan di taman tema itu tidak melebihi 40 minit sewaktu musim sejuk.
Ketika di Beijing, saya turut merealisasikan impian sejak sekolah saya iaitu mendaki Mutianyu Great Wall.
Saya sertai kumpulan lawatan yang ditempah melalui Klook tetapi pada ketika itu toboggan sedang diselenggara.
Akhirnya saya memilih untuk menaiki kereta kabel yang memerlukan masa menunggu lebih dua jam.
Setelah beberapa hari di Beijing, saya bergerak ke Harbin menggunakan kereta api laju.
Di sana, saya menginap di beberapa tempat. Xuegu Shanshan Hostel dekat Snow Valley menawarkan suasana mesra dengan staf yang baik.
Aktiviti utama di Harbin adalah bermain salji di Snow Valley dan Snow Town.
Snow Valley menawarkan snowmobile dan pemandangan indah frozen waterfall. Lebih menyeronokkan kami memasuki hutan. Snow Town cantik pada siang hari dengan perarakan dan pelbagai aktiviti menarik.

Saya juga sempat melawat Saint Sophia Church, Zhongyang Street, Daowai Mosque, Sun Island dan Sungai Songhua untuk bergambar dan mencari makanan halal.
Makanan halal memang mudah ditemui di China.
Di Beijing, saya singgah di Nuijie Street, Hongbinlou dengan hidangan itik Peking halal dan Dingyuanzhai Hotpot.
Sementara di Harbin, terdapat bakeri halal, kedai halal di sekitar Zhongyang Street serta medan selera di masjid.
Semua hidangan sedap dan berpatutan. Saya juga sempat mencuba tenghulu, aiskrim, ubi manis dan nasi putih dengan paru rangup yang dibawa dari Malaysia.
Perjalanan ini memang tidak meliputi semua tempat kerana fokus saya adalah Universal Studios dan Great Wall di Beijing serta aktiviti salji di Harbin.
Walaupun begitu, pengalaman melihat salji halus ketika perjalanan pulang ke Malaysia amat menyeronokkan.
Trip ini meninggalkan kenangan manis dan saya berharap untuk mengulanginya kerana masih banyak tempat menarik yang belum sempat diterokai.














