KUALA LUMPUR – Peguam yang mewakili Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir memaklumkan akan memfailkan permohonan menghina perintah mahkamah dan perintah larangan bersuara (gag order) terhadap ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman.
Ia berikutan tindakan Aliff Syukri, 39, membuat hantaran di media sosial, mengulas mengenai kes saman fitnah yang difailkan Abdul Kadir, 86, pada hari perbicaraan itu berlangsung.
Peguam Ravichandaran Selliah yang mewakili Abdul Kadir berkata, mahkamah sebelum ini sudah menasihati supaya tidak membuat sebarang kenyataan, namun ahli perniagaan terbabit masih melakukan kesilapan itu.
“Perbuatannya perlu dihentikan sekarang, kerana ia akan menimbulkan prejudis terhadap kes dan anak guam, sekali gus menjejaskan proses keadilan di mahkamah. Ini kerana hantaran itu dibaca oleh jutaan pengikutnya, malah dipetik oleh media termasuk portal berita hiburan,” katanya di sini hari ini.
Selain itu, Ravichandaran berkata, kenyataan dibuat Aliff Syukri seperti mahu meraih simpati umum dan memberi gambaran negatif terhadap anak guamnya selaku plaintif.
Katanya, kenyataan peribadi Aliff Syukri berpotensi menjejaskan keyakinan awam terhadap sistem kehakiman dan mencemarkan pentadbiran keadilan.
Bagaimanapun, Zulfahmi Abu Bakar yang mewakili Aliff Syukri selaku defendan berkata, hantaran awal iaitu “hahaha” sudah diturunkan.
Katanya, hantaran berkenaan tidak lebih kepada bentuk perkongsian di media sosial dan menganggap ia tidak akan mengganggu proses keadilan mahkamah.
“Mengenai hantaran temu bual oleh pihak media, saya belum meneliti perkara itu, sama ada anak guam dihubungi media pada atau sebelum Isnin lalu. Kita juga tidak dapat mengawal berita yang mahu dikeluarkan media,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Roslan Mat Nor bersambung lagi petang ini. – KOSMO! ONLINE














