PETALING JAYA – Kelab bola sepak Indonesia, Persib Bandung memaklumkan pihaknya tidak mengetahui salah seorang pemainnya sedang disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung hantaran menghina penguat kuasa negara ini di media sosial baru-baru ini.
Pengendali Persib Bandung, Bojan Hodak berkata, perkara tersebut adalah di luar pengetahuannya ketika ini.
“Perkara ini adalah di luar pengetahuan saya. Saya juga telah bertanyakan dengan kelab (Persib Bandung), mereka tidak tahu-menahu mengenai (siasatan PDRM) ini.
“Jadi kami tidak boleh memberikan sebarang komen lanjut,” katanya ringkas melalui pesanan WhatsApp kepada Kosmo! semalam.
Terdahulu, rakyat Malaysia mendesak Kementerian Dalam Negeri untuk mengambil tindakan tegas terhadap seorang pemain bola Indonesia, Adam Alis yang didakwa menghina anggota polis sewaktu menjalankan tugas di Subang Jaya baru-baru ini.
Ini susulan video tular dimuat naik pemain bola tersebut yang mana ketika itu dia bersama dua lagi rakannya ditahan polis selepas dikatakan memandu secara melawan arus.
Menerusi video itu, anggota keselamatan tersebut meminta mereka menunjukkan dokumen pengenalan diri termasuk pasport, namun mereka gagal berbuat demikian.
Bagaimanapun, video itu mengundang kemarahan rakyat Malaysia apabila terdapat komen tuduhan daripada Adam Alis yang mengatakan anggota trafik tersebut menahan mereka kerana ingin mengambil rasuah.
Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan awal mendapati rakaman berkenaan dibuat ketika anggota Unit Ronda Bermotosikal menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan.
Katanya, siasatan turut mendapati terdapat satu lagi video lain yang memaparkan ulasan semula kejadian dengan membuat tuduhan berunsur mengaibkan terhadap anggota polis terbabit.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Polis turut membuka siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. -KOSMO! ONLINE















