TOKYO – Seorang usahawan sushi di Jepun hari ini membayar harga 510.3 juta yen (RM13.5 juta) untuk seekor tuna sirip biru gergasi dalam lelongan tahunan berprestij tahun baharu di pasar ikan utama Tokyo, memecahkan rekod tertinggi sepanjang masa sebelum ini.
Rangkaian restoran sushi ‘Raja Tuna’ Kiyoshi Kimura membayar harga tertinggi itu untuk ikan seberat 243 kilogram yang ditangkap di luar pantai utara Jepun.
“Saya sangka kami akan dapat membeli pada harga sedikit murah, tetapi harganya melonjak tanpa disedari,” kata Kimura selepas lelongan sebelum subuh itu selesai.
Harga 510.3 juta yen pada lelongan tahun baharu kali ini adalah yang tertinggi sejak data harga sirip biru dikumpulkan pada 1999.
Rekod tertinggi sebelum ini ialah 333.6 juta yen (RM8.6 juta) untuk seekor tuna sirip biru seberat 278 kilogram pada 2019, selepas pasar ikan itu berpindah dari kawasan tradisional Tsukiji di tengah Tokyo ke kemudahan lebih moden.
Pembida tertinggi tahun lalu pula membayar 207 juta yen (RM5.3 juta) tuna sirip biru seberat 276 kilogram.
Semasa pandemik Covid-19, tuna tahun baharu hanya mencatatkan sebahagian kecil daripada harga tertinggi yang biasa dibayar apabila banyak restoran mengurangkan operasi. – AFP














