fbpx
Zaharudin ketika hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh AHMAD IQBAL ROSLI / KOSMO!

Ketua Pas Sungai Buloh didakwa sertai perhimpunan menyalahi undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Ketua Pas Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad didakwa di sini hari ini atas pertuduhan menyertai suatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang ketika operasi pengosongan Kampung Sungai Baru pada September tahun lalu.

Bagaimanapun Zaharudin, 50, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan.

Mengikut pertuduhan, Zaharudin bersama tujuh lagi individu didakwa menyertai suatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang, iaitu menentang proses Notis Pengosongan dengan mengetahui bahawa perhimpunan tersebut telah diarahkan untuk bersurai mengikut kaedah undang-undang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Datuk Abdul Malik, Kampung Sungai Baru di sini antara pukul 10.50 pagi hingga 11.14 pagi pada 11 September 2025.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Sekayen 145 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Wirna Arifin mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000.

Bagaimanapun peguam Latheefa Koya yang mewakili Zaharudin memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga.

“Anak guam saya pencari nafkah tunggal keluarga dan menanggung isteri yang tidak berkerja serta anak,” kata peguam itu.

Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Farah Nabihah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dan menetapkan 24 Februari ini bagi sebutan semula kes.

Kosmo! pada 15 September tahun lalu melaporkan Zaharudin ditahan polis berhubung insiden kekecohan ketika operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru di sini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengesahkan penahanan tersebut yang dibuat sekitar pukul 1.30 pagi.

Sebelum itu, media melaporkan tujuh suspek lelaki berusia 15 hingga 50 tahun telah ditahan berhubung insiden berkenaan dan siasatan mendapati mereka bukanlah penduduk yang beralamat di Kampung Sungai Baru.

Siasatan mendapati mereka yang ditahan itu adalah ketua dan ahli kepada satu pertubuhan namun belum tidak dapat dipastikan sama ada mereka mempunyai kepentingan lain berhubung insiden itu.

Insiden kekecohan itu turut menyebabkan Sulizmie Affendy mengalami kecederaan di kepala akibat dibaling objek. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN