CYBERJAYA – Pengalaman jatuh bangun dalam kehidupan individu itu menjadi guru terbaik untuknya meneruskan kelangsungan hidup, malah menjadikannya satu batu loncatan untuk menjadi penggerak mengubah kehidupan menjadi lebih baik.
Berkhidmat dalam dunia perbankan hampir 10 tahun, bukanlah menjadi lesen besar untuk hidup bebas dan kebal daripada terjerat daripada hutang, malah individu ini yang kini bergelar perunding kewangan, Khairi Aizat Hasan ketika itu terjebak dengan himpunan hutang yang banyak.
Terdedah dengan gaya hidup moden kerana memiliki gaji lima angka sebulan dan tiada pelan perancangan kewangan serta disiplin yang ketat membuatkan usahawan ini mula melalui fasa gelap dalam hidupnya sehinggakan beberapa aset yang dimilikinya terpaksa di sita, malah tekanan hutang keliling pinggang membuatkan diari hidupnya semakin terhimpit.
Belajar daripada kesilapan tersebut, beliau mula bangkit lantas meninggalkan dunia korporat tetapi melangkah dengan semangat yang kuat di dalam dunia perniagaan melalui penubuhan syarikatnya, KAC Wealth Sdn. Bhd. (KAC Wealth), sebuah platform pendidikan kewangan, pelaburan selamat dan pengurusan aset.

Melalui empayarnya itu kini, beliau berjaya membantu lebih daripada 100,000 individu yang terbeban dengan hutang kerana kesilapan dalam pengurusan kewangan atau mereka yang tidak tahu menyusun atur pelan perancangan bajet bulanannya termasuk hutang dan pelaburan masing-masing.
Bagi meningkatkan keyakinan pelanggan sedia ada dan yang baharu, beliau perlu melengkapkan dirinya sebagai perunding kewangan dengan memiliki pentauliahan dan lesen daripada Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) serta turut berdaftar dengan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC).
Segala pensijilan dan pengiktirafan yang diperolehnya itu membuktikan beliau mampu membantu pelanggan secara profesional tanpa sebarang was-was dan kebimbangan daripada ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Beliau juga sehingga kini, terus berusaha untuk menonjolkan dirinya di platform media sosial untuk memaklumkan tentang keunikan perkhidmatan yang ditawarkan tidak seperti scammer yang banyak terdapat di pasaran semasa.
Idea dan cara mereka yang licik boleh membayangi mata kumpulan sasaran hingga membuatkan mereka terjerat dengan kes penipuan.

Khairi menerangkan, sepanjang perjalanan KAC Wealth sebelum ini, pihaknya ditemukan dengan pelbagai jenis kumpulan yang menghadap masalah kewangan dan ia bukan sahaja terdiri daripada golongan swasta tetapi juga penjawat awam termasuk para guru.
“Ada yang membuat pinjaman untuk ‘tutup lubang, korek lubang baharu’ dan seterusnya begitulah sehingga mereka menghadapi masalah hutang keliling pinggang,” katanya dalam satu pertemuan di sini.
Beliau berkata, ramai individu yang gagal menguruskan kewangan bukan kerana kekurangan duit tetapi mereka tidak tahu bagaimana untuk menyusun aliran tunai dan menguruskan komitmen hutang masing-masing serta melabur dengan selamat.
Bersandarkan faktor berkenaan, syarikatnya bersedia membantu mana-mana individu secara umum di dalam kelas atau secara ‘coaching’ yang membantu individu secara perseorangan dengan bayaran yuran berpatutan.
Lebih menarik, dalam kelas bimbingannya itu, perkara penting yang ditekankan kepada pelanggannya adalah mendidik mereka agar tidak mudah terjebak dengan pelaburan palsu atau skim cepat kaya.
“Mereka akan diberi pendedahan tentang memeriksa terlebih dahulu kredibiliti dan kelayakan penasihat pelaburan atau kewangan itu agar ia mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
“Mereka boleh membuat pemeriksaan di platform SC Investment Checker yang disediakan sekali gus dapat membuat semakan status syarikat pelaburan sebelum mereka membuat keputusan melabur,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE














