SEREMBAN – Tidak pernah ditahan atau disaman menyebabkan segelintir pengguna jalan raya tidak ‘takut’ menggunakan lorong kecemasan bagi mengelak kesesakan lalu lintas terutama sepanjang musim cuti persekolahan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, itu antara faktor dikesan pihaknya dalam operasi penguatkuasaan terhadap kesalahan menggunakan lorong kecemasan di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat Pedas, Linggi sehingga Nilai di kedua-dua arah.
“Pengguna jalan raya ini menyedari perkara itu salah, tetapi sudah terbiasa menggunakan lorong kecemasan dan mengatakan selama ini mereka tidak pernah ditahan atau disaman.
“Selain itu, ada yang memberikan alasan bosan berada dalam kesesakan dan mengambil jalan mudah menyalahguna lorong kecemasan supaya sampai cepat di sesuatu destinasi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurut Hanif Yusabra, JPJ Negeri Sembilan memandang serius isu penyalahgunaan lorong kecemasan di lebuh raya, khususnya ketika aliran trafik meningkat dengan melaksanakan penguatkuasaan sepanjang musim cuti persekolahan bermula 20 Disember lalu.
“Sepanjang tempoh penguatkuasaan, sebanyak 325 notis kompaun telah diambil terhadap pengguna jalan raya yang didapati melakukan kesalahan di bawah Kaedah 53(1), Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
“Ia melibatkan 141 kesalahan Notis P22 iaitu saman yang dikeluarkan serta-merta kepada pemandu yang didapati melakukan kesalahan di lokasi kejadian manakala 184 kesalahan Notis 114 (Temu Siasat) iaitu notis panggilan untuk sesi temu bual atau siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














