IMPIAN tidak perlu sempurna untuk bermula. Kadangkala cukup dengan keberanian mencuba serta kesanggupan untuk belajar, selain kecintaan yang mendalam terhadap roti sourdough.
Demikian antara ‘resipi’ serta resam buat Fadlan Arif Fakhrunniam, 25, ketika memulakan perniagaan kafe dan bakeri, Belly bersama ibunya, Rosenajehah, 52, yang terletak di No. 32, Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Menurut Fadlan Arif yang merupakan graduan jurusan matematik dan statistik dari Universiti Toronto, Kanada, meskipun bidang tersebut jauh daripada dunia kulinari, namun jiwanya sentiasa dekat dengan dapur sejak kecil.
“Walaupun latar belakang akademik saya bukan dalam bidang kulinari, namun sejak kecil saya memang gemar memasak. Sebelum ke Kanada lagi, saya sering memasak untuk keluarga, terutamanya ketika barbeku atau musim perayaan seperti hari raya.
“Memasak untuk orang lain ini seolah-olah ‘bahasa kasih sayang’ terutamanya ketika ahli keluarga berhimpun,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.
Jelasnya, restoran tersebut berkonsepkan roti, khususnya sourdough, selain nama Belly juga daripada istilah dalam pembuatan sourdough.
“Sebelum dibakar, pembuat roti akan membuat satu hirisan pada doh. Apabila dibakar, roti akan mengembang dan terbuka pada bahagian hirisan itu.
“Bahagian yang terangkat dan mengembang ini dipanggil ‘ear’, manakala bahagian mengembang utama dipanggil ‘belly’. Dari situlah nama Belly diambil, selain ia mudah disebut dan kedengaran ‘fun’,” ujarnya.
Orang ramai yang melalui Jalan Dang Wangi pasti akan terlihat bangunan kedai berwarna hijau pudina di sebelah kanan. Apabila menjengah ke bahagian dalam, suasananya yang mesra dan selesa serta ‘instagrammable’ pasti membuatkan para pelanggan tidak henti-henti mengambil foto.
Titik persilangannya bertemu ketika pelanggan menjamah keenakan birria pulled beef sandwich yang merupakan menu kesukaan ramai. Antara puluhan menu lain seperti crepe, roti ban brioche untuk burger, roti bakar kaya yang menggunakan sourdough.
Para pelanggan juga boleh menikmati penkek sourdough buah naga yang dihidangkan bersama sirap gula melaka, krim putar kelapa serta potongan buah tersebut. Selain itu, pelanggan turut diberi pilihan dengan hidangan lokal seperti nasi goreng, mi goreng mamak dan pelbagai sajian lain.

Berkongsi pengalamannya, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia mula belajar membuat sourdough pada 2020 ketika pandemik Covid-19 melanda dunia.
“Pada awalnya, kira-kira 20 roti pertama tidak begitu menjadi, namun lama-kelamaan saya semakin mahir. Ketika itu, saya masih seorang pelajar sepenuh masa, mengikuti kelas secara dalam talian sebelum menamatkan pengajian pada 2023.
“Keseluruhan menu di Belly ini dibuat sendiri oleh saya. Perkara utama yang menarik perhatian pelanggan adalah Belly merupakan restoran sourdough milik Muslim, sesuatu yang agak sukar ditemui di Malaysia.
“Sourdough juga belum begitu popular di sini, jadi matlamat saya adalah untuk memperkenalkan roti ini kepada lebih ramai orang. Ia lebih sihat kerana diperbuat secara semula jadi tanpa bahan-bahan yang diproses,” katanya.
Katanya, antara yang mendapat tempat di hati pelanggan adalah cili pan mee yang merupakan menu menggunakan resipi asli keluarganya.
“Di Belly, kita mempunyai kira-kira 25 menu, cili pan mee antara yang mendapat sambutan di luar jangkaan.
“Pada asalnya, saya memasukkan hidangan ini ke dalam menu kerana permintaan ibu saya, tidak sangka ia menjadi antara pilihan utama pelanggan.
“Cili pan mee ini juga menggunakan ayam berbanding daging kerana bagi memberi peluang kepada pelanggan yang tidak makan daging untuk menikmatinya,” katanya.
Katanya, Belly dibuka bermula September lalu selepas idea untuk membuka restoran itu tercetus sekitar Oktober 2024, ketika dia masih bekerja di sebuah restoran di Kanada.
“Sebenarnya, ibu bapa saya sudah lama menyimpan hasrat untuk membuka restoran. Sejak dulu lagi mereka bercakap tentang mahu membuka kafe tetapi mungkin kerana ketika itu saya masih muda.
“Jadi, apabila saya tamat pengajian sekitar dua tahun lalu dan sudah mempunyai pengalaman bekerja di dapur, mereka membawa idea ini kepada saya. Dari situlah semuanya bermula,” katanya.
Belly dibuka setiap hari dengan waktu operasi dari pukul 10 pagi hingga 4 petang pada hari biasa, manakala dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang pada hujung minggu.














