WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengaku memakai solekan untuk menutup kesan lebam pada tangan susulan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai keadaan kesihatannya, lapor akhbar Mirror UK.
Trump mengumumkan perkara itu selepas beliau dikritik oleh individu yang tidak didedahkan nama mereka.
“Saya memakai solekan. Ia mudah dipakai dan mengambil masa kira-kira 10 saat,” kata Trump dalam satu temu bual.
Pengakuan itu dibuat selepas beliau dilihat memakai solekan atau bedak asas (foundation) untuk menutup lebam pada tangannya menjelang pertemuan dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky di luar estet Mar-a-Lago, negeri Florida pada Ahad lalu.
Dalam wawancara itu, Trump berkata, tangannya luka akibat terkena cincin berlian besar milik Peguam Negara, Pam Bondi ketika mereka berjabat tangan, baru-baru ini.
“Cincin itu terkena belakang tangan saya dan terdapat luka kecil,” kata Trump kepada akhbar The Wall Street Journal.
Pada masa sama, Trump mengakui bahawa melakukan senaman adalah membosankan.
“Saya memang tidak suka,” kata Trump, sambil menambah, berjalan kaki atau berlari di atas mesin senaman treadmill selama beberapa jam adalah bukan untuknya.- AGENSI














