KLANG – Penduduk Kampung Papan, Pandamaran di sini, enggan berganjak walaupun 29 rumah mereka dirobohkan pada November lalu bagi projek pembangunan yang bakal dilaksanakan pemaju.
Mereka menuntut pampasan rumah baharu yang dijanjikan sejak bertahun lalu selain ada segelintir penduduk yang terjejas kini berteduh di sembilan bilik rumah papan yang siap dibina di tapak perobohon kediaman tersebut.
Wakil penduduk, Teoh Ah Guat, 63, berkata, dia akan terus memperjuangkan isu tersebut berikutan masih belum menerima pampasan biarpun menanggung kerugian RM75,000 akibat perobohan itu.
“Saya dan penduduk lain belum menerima apa-apa. Kami tidak akan berganjak selagi tiada kata putus berkaitan pampasan rumah baharu. Keputusan untuk menghuni bilik sementara juga dianggap sebagai tanda protes,” katanya pada sidang akhbar bersama Jawatankuasa Bertindak Kampung Papan hari ini.
Bagi Ang Boon Hai, 65, dia tetap tinggal di lokasi tersebut kerana menyayangi kampung yang didiami sejak 60 tahun lalu.
“Rumah yang dibina oleh mendiang bapa dan nenek saya telah dirobohkan. Saya terpaksa berteduh di bilik kecil yang hanya muat katil bujang sehingga mendapat rumah baharu kelak,” ujarnya.
Sementara itu, Penasihat Jawatankuasa Bertindak Kampung Papan, S. Arutchelvan berkata, penduduk menggesa kerajaan negeri segera membuka ruang rundingan bagi mencari penyelesaian menyeluruh berhubung isu berkenaan. Mereka termasuk 44 pemilik rumah yang belum dirobohkan bersetuju sekiranya ditawarkan pampasan kediaman baharu. – KOSMO! ONLINE














