JOHOR BAHRU – Tirai perkhidmatan Ekspres Selatan secara rasmi dilabuhkan hari ini tepat pukul 6.05 petang selepas hampir sembilan tahun menjadi nadi pengangkutan rel di selatan tanah air, sekali gus membuka lembaran baharu dengan pengenalan perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang lebih moden dan efisien.
Majlis pelepasan tren terakhir yang membawa 170 penumpang itu berlangsung di Stesen Keretapi JB Sentral di sini, menandakan peralihan fasa penting dalam landskap perkhidmatan rel negara, khususnya di wilayah selatan.
Pengurus Kanan Wilayah Selatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Salim Misdi berkata, penamatan operasi Ekspres Selatan bukan sekadar penutup sebuah perkhidmatan lama, sebaliknya simbol kepada transformasi sistem rel yang lebih mampan dan bersedia menghadapi keperluan masa hadapan.
Menurut beliau, seiring kesiapsiagaan infrastruktur Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru, KTMB kini mengoptimumkan penggunaan kemudahan baharu dengan memperkenalkan ETS yang menawarkan perjalanan lebih selesa, pantas dan mesra alam.
“Melalui perkhidmatan ETS, penumpang akan menikmati pengalaman perjalanan yang lebih moden, kekerapan tren ditingkatkan sehingga lapan perkhidmatan sehari, masa menunggu yang lebih singkat di stesen serta menyokong agenda mobiliti hijau negara,” katanya kepada pemberita.- KOSMO! ONLINE














