JAKARTA – Satu video tular baru-baru ini yang memaparkan orang ramai mendulang emas di sebatang sungai di Pati, wilayah Jawa Tengah disahkan palsu serta sekadar kandungan untuk dimuat naik di media sosial, lapor laman berita Detik semalam.
Dalam video tersebut, orang ramai dilihat menyerbu Sungai Kincir kerana mendakwa menemukan emas peninggalan suku kaum Kalang.
“Hari ini, Selasa (23 Disember), satu lagi penemuan telah dibuat hasil pemburuan di Kincir Sukolilo, kabupaten Pati. Hasilnya adalah emas dan harta pusaka daripada suku Kalang di Muria,” kata perakam video itu.
Tampil menjelaskan situasi itu, Ketua Polis Sukolilo, Asisten Komisioner Sahlan berkata, kumpulan pencari emas itu hanya menghasillan kandungan untuk mendapatkan perhatian pengguna media sosial.
“Ya, ia menjadi tular baru-baru ini. Mereka ialah pencipta kandungan yang menjana wang melalui Facebook, TikTok dan platform media sosial lain,” kata Sahlan.
Sementara itu, seorang penduduk kampung, Supriyadi berkata, tiada emas pernah ditemukan di sungai kampung tersebut.
“Mereka tidak berasal dari sini, semuanya orang luar,” katanya. – AGENSI














