SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mereka yang diamanahkan kuasa dan tanggungjawab khususnya ahli-ahli politik supaya menghentikan polemik politik.
Tegas baginda, mereka sepatutnya fokus bekerja untuk menyelesaikan masalah rakyat kerana tidak lama lagi akan berlangsungnya pilihan raya umum.
“Cukup-cukuplah bercakap pasal politik. Tumpukan segala tenaga dan fikiran kepada usaha membina pembangunan yang nyata.
“Ini supaya rakyat dapat hidup dengan lebih selesa, terpelihara kebajikannya dan merasa dilindungi oleh sistem yang adil serta berkesan,” titah baginda menerusi peruntusan sempena Tahun Baharu 2026 dikeluarkan Istana Alam Shah.
Baginda bertitah, tiada yang mustahil sekiranya niat itu tulus dan usaha itu dilakukan secara bersungguh-sungguh.
“Segala perancangan dan tindakan hendaklah berteraskan satu matlamat utama iaitu kemakmuran rakyat dan kestabilan negeri,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut menekankan agar masalah banjir ditangani secara tuntas dengan sasaran yang jelas iaitu ‘zero flood’ serta mendapatkan kepakaran terbaik, sama ada tempatan atau antarabangsa dengan memanfaatkan teknologi dan ilmu terkini serta pengalaman.
“Jangan lagi berlindung di sebalik alasan, kerana penderitaan rakyat tidak boleh dijadikan harga yang perlu dibayar akibat kegagalan perancangan.
“Beta maklum, kita tidak mampu menghalang ribut, taufan, hujan lebat atau bencana alam yang merupakan ketentuan Ilahi. Namun Beta yakin, banjir boleh diatasi sekiranya wujud sistem yang baik, perancangan jangka panjang dan pelaksanaan yang jujur serta berdisiplin,” titah baginda.
Pada perutusan itu, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu 2026 kepada seluruh rakyat Beta, tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
“Beta menaruh harapan setinggi-tingginya agar tahun 2026 ini membawa kemakmuran yang lebih besar kepada rakyat Beta.
“Jadikanlah tahun baharu ini sebagai titik azam untuk menjadi insan yang lebih baik, lebih berakhlak, dan lebih bermanfaat kepada keluarga, masyarakat dan negeri,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE














