TRENTON, NEW JERSEY – Seorang juruterbang maut, manakala seorang lagi parah selepas dua helikopter bertembung di udara dan terhempas berhampiran sebuah lapangan terbang di negeri New Jersey, lapor portal berita MailOnline.
Nahas berlaku pukul 11.25 pagi (waktu tempatan) semalam berhampiran Lapangan Terbang Perbandaran Hammonton.
Ketua Polis Hammonton, Kevin Friel berkata, seorang terbunuh dan seorang lagi dikejarkan ke hospital berdekatan dengan kecederaan yang mengancam nyawa.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengesahkan bahawa nahas melibatkan helikopter Enstrom F-28A dan Enstrom 280C, serta hanya juruterbang berada di dalamnya.
Rakaman video saksi memaparkan sebuah helikopter berpusing di udara tanpa kawalan sebelum terhempas ke tanah.
Rakaman video lain yang dimuat naik di media sosial menunjukkan asap hitam tebal naik ke udara di lokasi nahas.
“Siasatan menyeluruh di peringkat negeri dan persekutuan diperlukan,” kata Jabatan Bomba Hammonton dalam satu kenyataan di laman Facebook. – AGENSI














