fbpx
ABU BAKAR (kanan) berbincang sesuatu dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail di pekarangan Istana Arau, hari ini.

Kestabilan politik Perlis kekal, isu dalaman PN akan diselesaikan – Abu Bakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah memberi jaminan bahawa kerajaan negeri kekal stabil dan Perikatan Nasional (PN) akan terus bergerak sebagai satu pasukan tanpa sebarang perpecahan.

Menurutnya, hubungan antara Pas dan Bersatu di negeri itu bukanlah satu krisis besar sebaliknya hanya berbeza pandangan yang akan diselesaikan secara harmoni.

“Pas dan Bersatu berada dalam satu keluarga besar PN. Tidak timbul isu siapa lebih atau siapa kurang kerana keutamaan kita ialah kestabilan negeri dan kepentingan rakyat.

“Saya yakin dan percaya, sebarang perselisihan yang berlaku akan dapat dihuraikan dalam masa terdekat. Kita mahu Perlis terus ditadbir dalam suasana tenang dan bersatu,” katanya di pekarangan Istana Arau, di sini hari ini.

Abu Bakar turut menegaskan bahawa kepimpinan PN di peringkat negeri dan pusat sentiasa berunding bagi memastikan sebarang isu dapat diselesaikan tanpa menjejaskan pentadbiran kerajaan.

“Kerajaan negeri juga berharap proses rayuan melibatkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dapat diselesaikan dengan baik bagi mengelakkan berlakunya pilihan raya kecil.

“Kita mahu semua perkara ini diselesaikan secara tertib dan mengikut peraturan parti. Kalau boleh, kita elak PRK demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat Perlis,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN