Saudara Pengarang,
Setiap hujung tahun, pelbagai ucapan dan harapan serta azam membanjiri platform media sosial sempena kehadiran Tahun Baharu. Ada yang mahu jadi kurus, mahu kaya dan mahu lebih bahagia.
Namun realitinya, tidak semua yang diharapkan itu berjaya dicapai sepanjang 12 bulan ini. Azam yang dilaungkan penuh semangat pada 1 Januari lalu akhirnya ‘ke laut’ dengan alasan sibuk bekerja, tekanan hidup dan motivasi yang semakin pudar.
Fenomena ini bukan sesuatu yang asing. Ramai antara kita gemar menyalahkan masa, keadaan ekonomi atau orang sekeliling apabila gagal konsisten. Hakikatnya, azam sering dibina terlalu tinggi tanpa pelan realistik.
Mahu berjimat tetapi masih boros, mahu sihat tetapi enggan berdisiplin, mahu berjaya tetapi cepat mengalah.
Lebih membimbangkan, budaya menangguh ini seolah-olah dinormalkan. Kegagalan tidak dijadikan cermin untuk memperbaiki diri, sebaliknya dijadikan alasan untuk bermalas-malasan. Kita lupa bahawa perubahan besar bermula dengan langkah kecil yang konsisten.
Mungkin sudah tiba masanya kita berhenti menyalahkan tahun dan mula bertanya pada diri sendiri. Bukan soal azam 2025 atau 2026, tetapi soal kesungguhan hari ini. Jika azam itu benar-benar penting, mulakan semula walaupun sudah terlambat.
Hakikatnya, masa depan tidak menunggu tahun baharu untuk berubah, sebaliknya menunggu keberanian kita untuk terus mencuba.
Abang Man
Seremban, Negeri Sembilan














