fbpx
Tangkap layar video memaparkan sekumpulan lelaki dan wanita dipercayai merusuh di Pasar Awam Melor, Kota Bharu kelmarin.

10 individu merusuh di Pasar Awam Melor direman 4 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seramai 10 individu termasuk lima orang wanita direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes melakukan rusuhan di Pasar Awam Melor di sini kelmarin.

Perintah reman sehingga Selasa ini terhadap kesemua individu yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 50-an itu dikeluarkan oleh Majistret Rais Imran Hamid.

Tahanan reman itu bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh secara beramai-ramai di tempat awam.

Terdahulu, dua orang wanita sudah direman empat hari bermula semalam hingga Isnin ini bagi membantu siasatan kes tersebut.

Media semalam melaporkan, seramai 12 individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes rusuhan di Pasar Awam Melor di sini.

Kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu menyebabkan seorang remaja berusia 19 tahun mengalami kecederaan pada seluruh bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, tangkapan dijalankan selepas mangsa membuat laporan yang mendakwa dirinya dikasari seorang wanita berusia dalam lingkungan 20-an.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan remaja berkenaan mengalami kecederaan pada seluruh bahagian badan.

“Siasatan mendapati, kejadian itu turut melibatkan keluarga mangsa dan suspek. Pergaduhan itu dileraikan oleh orang awam dan punca kejadian tersebut masih dalam siasatan.

“Sehubungan itu, seramai 12 individu yang terdiri daripada tujuh wanita dan lima lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 50-an ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, tular satu video di laman sosial yang memaparkan beberapa wanita sedang bergaduh di Pasar Awam Melor di sini kelmarin.

Pergaduhan itu pada awalnya melibatkan dua orang wanita sebelum sekumpulan individu termasuk beberapa lelaki dan wanita dipercayai keluarga mereka turut campur tangan dan cuba meleraikan insiden tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI