PETALING JAYA – Pendakwah dan personaliti televisyen, Datuk Dr. Mohd Izhar Ariff mempersoalkan keperluan Pilihan Raya Kecil (PRK) ketika rakyat berdepan tekanan ekonomi.
Menerusi hantaran di Facebook, Dr. Mohd Izhar meluahkan rasa kesal dengan sikap ahli politik yang disifatkan tidak memikirkan keadaan rakyat yang bergelut dengan kos sara hidup.
“Orang politik ni tak fikir ke rakyat sedang susah sekarang ni? Ekonomi negara baru nak dipulihkan. Anak-anak muda pula sedang berusaha cari rezeki, cari kerja tetap dan pendapatan lebih.
“Orang politik, kalau nak gaduh pun tunggu la PRU16 nanti. Setahun sahaja lagi. Sepatutnya waktu yang berbaki untuk PRU16 ini, bantu ekonomi rakyat, negeri dan negara,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Dr. Mohd Izhar turut menyentuh kos pelaksanaan Pilihan Raya Kecil yang memberi kesan kepada kewangan negara.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan speaker Dewan Undangan Negeri Perlis akan memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mengadakan pilihan raya semula bagi mengisi kekosongan di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri.
Perkongsian tersebut meraih pelbagai reaksi netizen yang rata-rata memberi sokongan serta meluahkan rasa kecewa dengan agenda ahli politik negara.
“Sokong sepenuhnya pandangan Dr Mohd Izhar Ariff. Kita rakyat naik muak sudah dengan permainan politik sepanjang tahun tanpa ada faedah kepada rakyat dan negara,” komen @KamaliahSalleh.
“Susah nak menuju kepada kesatuan ummah selagi masih bergaduh soal politik. Kadang-kadang selepas pilihanraya pun masih bergaduh berkaitan isu remeh,” komen @IkaIsa. –KOSMO! ONLINE














