JAKARTA – Seorang pemuda berusia 19 tahun maut selepas dibaham seekor buaya ketika memancing bersama rakan-rakannya di sebatang sungai di Dumai, wilayah Riau, lapor portal berita TV One News.
Kejadian berlaku di Sungai Teluk Dalam, daerah Sungai Sembilan petang kelmarin.
Mangsa melakukan aktiviti itu bersama dua rakannya dengan menaiki sampan. Dia dilaporkan duduk di bahagian hadapan dengan keadaan kaki dicelupkan ke dalam air.
Seekor buaya tiba-tiba muncul lalu menyeret mangsa ke dalam sungai.
Pihak berkuasa berkata, rakan-rakan cuba menyelamatkan mangsa tetapi gagal, menyebabkan mereka segera mendapatkan bantuan daripada warga setempat.
“Kira-kira 20 sampan digunakan untuk mencari mangsa sehingga subuh. Mayat mangsa ditemukan pada keesokan hari, kira-kira 100 meter dari tempat kejadian,” kata pihak berkuasa. – AGENSI














