BACHOK – Kegembiraan seorang kanak-kanak lelaki bermandi-manda di Pantai Kemayang, di sini bersama dua rakannya sempena cuti persekolahan berakhir tragedi apabila dia dikhuatiri lemas di pantai tersebut, petang tadi.
Kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu disedari oleh bapa mangsa, Mohd. Afendi Ya, 44 selepas melihat Muhamad Irfan, 9, dalam keadaan melambai-lambai tangan meminta pertolongan selepas ditarik ombak.
Mohd. Afendi berkata, sebelum kejadian, Muhamad Irfan yang merupakan anak sulung daripada dua beradik mandi bersama dua lagi rakannya dan dia melihat anaknya itu semakin ke tengah laut akibat ditarik ombak sebelum tenggelam.
“Sebelum itu, isteri saya sempat memanggilnya beberapa kali supaya naik ke tebing untuk pulang ke rumah kerana sudah lewat petang.
“Saya cuba menyelamatkan Muhamad Irfan, tetapi gagal kerana ombak besar menghempas kawasan pantai ketika itu,” katanya ketika ditemui pemberita di pantai tersebut.
Mohd. Afendi memberitahu, dia sampai di Pantai Kemayang kira-kira pukul 6 petang selepas Muhamad Irfan beberapa kali mengajaknya untuk mandi di pantai tersebut dan terus berbuat demikian bersama dua lagi rakannya sebaik mereka tiba.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Zamizi Muhamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 7.15 malam dan mangsa masih belum dijumpai selepas operasi mencari dijalankan. – KOSMO! ONLINE














