SHAH ALAM – Impian angkasawan pertama negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor untuk melihat kanak-kanak khatam al-Quran seawal usia lima tahun tercapai melalui organisasi diasaskannya sendiri yang kini telah mempunyai 300 cawangan di seluruh negara.
Sheikh Muszaphar berkata, organisasi pendidikan awal kanak-kanak, Keedsflix yang begitu pantas berkembang walaupun ditubuhkan di tengah cabaran pandemik pada 2020, kini mempunyai cawangan baharu di Puncak Alam.
Katanya, Keedsflix memfokuskan kepada pendidikan awal kanak-kanak berasaskan pendekatan holistik dan nilai Islamik.
“Pendekatan Islamik Quranik dan Teknologi telah berjaya melahirkan anak anak yang berani, berketerampilan, kreatif serta beradab.
“Tertunai impian saya untuk melihat anak anak Keedsflix yang telah berjaya khatam Al Quran seawal usia lima dan enam tahun,” katanya ketika ucapan perasmian Keedsflix di sini baru-baru ini.
Menurut Sheikh Muszaphar, Keedsflix berkembang pesat melalui pendekatan pendidikan Islamik yang berteraskan kasih sayang, teknologi serta silibus terselaras mengikut garis panduan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan dan Permata.
Tambahnya, pelancaran ibu pejabat baharu dan pencapaian 300 cawangan adalah bukti pertumbuhan jenama yang telah melahirkan 8,550 pelajar, 810 tenaga pengajar dan 300 usahawan.
Pada majlis itu, Keedflix turut mengumumkan empat inisiatif baharu meliputi pemerkasaan Modul Keeds Mandarin, Portal Digital e-KQA, Siri Animasi dan Projek Usahasama Universiti Sains Malaysia.
Bagi memperkukuhkan lagi sistem pendidikan Keedsflix, semua pelaksanaan diselaraskan sepenuhnya mengikut Kurikulum Prasekolah 2026.














