fbpx
Sidi Ahmad (tiga dari kiri) bersama peguam, Mohd. Hezeri (kiri) selepas dibebaskan daripada tuduhan membunuh di Mahkamah Tinggi Alor Setar, hari ini.

‘Hari ini hari paling bahagia dalam hidup saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Seorang bekas warden melakukan sujud syukur di kandang tertuduh sebaik dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh penghuni sebuah pusat pemulihan dadah dan akhlak swasta, empat tahun lalu.

Tertuduh, Sidi Ahmad Amin Mamat, 50, gagal menahan air mata selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Evawani Farisyta Mohammad hari ini membuat keputusan melepas dan membebaskannya tanpa perlu membela diri di akhir kes pendakwaan.

Evawani memutuskan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang masih bujang.
Terdahulu, Evawani dalam penghakimannya antaranya menyatakan pihak pendakwaan gagal membuktikan kecederaan dialami si mati adalah disebabkan perbuatan tertuduh.

Ia termasuk kemungkinan mangsa dipukul oleh individu lain di dua hingga tiga tempat berbeza dan penemuan dua kesan asid deoksiribonukleik (DNA) individu tidak dikenali pada kain pelekat si mati.

Selain itu, katanya, tertuduh dituduh memukul bahagian dada dan leher si mati, sedangkan pakar patologi menunjukkan punca kematian adalah akibat kecederaan pada abdominal aorta.

Kecederaan itu berkemungkinan berpunca daripada cubaan si mati meloloskan diri dari pusat pemulihan menerusi ruang kecil sebesar kira-kira satu kaki.

Mengikut pertuduhan, Sidi Ahmad dituduh membunuh Umar Muhajir Ghazali di sebuah pusat pemulihan dadah dan akhlak di Sintok, Changlun antara pukul 11 pagi hingga 6.30 petang, 4 November 2021 dengan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sidi Ahmad ketika ditemui selepas prosiding meluahkan rasa syukur apabila dibebaskan setelah lebih empat tahun di penjara.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT. Sukar nak menggambarkan perasaan saya ketika ini sebab saya memang tunggu detik ini.

“Hari ini hari paling bahagia dalam hidup. Saya tanya kawan-kawan (di penjara), mereka kata bila keluar penjara, itulah hari paling bahagia dalam hidup,” katanya yang diwakili peguam Mohd. Hezeri Harun dan Mohd. Fadhly Yaacob.

Katanya, perkara pertama yang akan dilakukannya adalah pulang ke kampung halaman di Temerloh, Pahang untuk bertemu ibunya yang berusia 75 tahun dan sudah uzur.

“Mak pun minta balik Temerloh dan tinggal bersamanya. Alhamdulillah, selepas ini boleh sambut puasa dan raya bersama keluarga,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI