SETAKAT semalam, seramai 13,245 mangsa banjir direkodkan di Pahang melibatkan enam daerah iaitu Kuantan, Pekan, Rompin, Maran, Lipis dan Jerantut.
Tahun ini Kuantan paling teruk terjejas apabila merekodkan mangsa tertinggi sebanyak 10,913 mangsa daripada 3,638 keluarga.
Kejadian banjir besar pada Monsun Timur Laut (MTL) kali ini dilihat memberi kesan paling teruk di Kuantan yang menyaksikan ramai penduduk terpaksa berpindah dan jalan-jalan ditutup.
Kesannya, bandar Kuantan mengalami kesesakan teruk dan hampir lumpuh selepas banyak tempat termasuk laluan utama ditenggelami air.
Boleh dikatakan banjir besar terakhir melanda Kuantan adalah pada Disember 2021, ketika itu Temerloh, Mentakab, Maran dam Lipis berdepan bah besar paling besar.
Pada 2022, 2023 dan 2024, Pahang terselamat daripada banjir kecuali di kawasan rendah, sesekali cuma ada banjir kilat.
Pengarah Kanan Centre for Disaster & Climate Change Jabatan Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof. Ir. Dr. Mohamad Faizal Jamlos berkata, untuk 2025, luruan angin timur laut membawa hujan tahap buruk pada 14 hingga 18
Disember yang didefinasikan melebihi 150mm dalam masa 24 jam.
Ketika cuaca buruk, mana-mana jalan berdekatan limbangan sungai, seperti UniPSAS, iaitu Sungai Belat berisiko untuk berlaku limpahan air ke jalan raya akibat daripada penurunan hujan pada kadar sangat banyak (tahap buruk) dalam masa 24 jam.
“Kesimpulannya, kita melihat pada MTL 2022, 2023, 2024 tiada banjir besar atau limpahan air yang signifikan berlaku, namun berlaku pada 2025 berpunca dariada yang dinyatakan di atas.
“Selain itu, faktor ‘climate’ seperti banjir kilat yang berlaku di Kuala Langat dan Shah Alam baru-baru ini akibat dari hujan yang turun dua kali ganda dari kadar yang biasa,” katanya.
Ironinya, banjir memberi kesan yang teruk kepada negeri dan khususnya kepada penduduk terjejas.
Bukan sahaja berhadapan kos sara hidup yang meningkat penduduk terpaksa pula berhadapan kemusnahan harta benda seperti rumah, pelbagai peralatan dan kenderaan yang ditenggelami banjir.
Bagi penduduk Kuantan, tempoh empat tahun bangkit membina kehidupan akhirnya musnah sekelip mata apabila sekali lagi terpaksa berputih mata. Dalam tempoh beberapa tahun mendatang, pasti episod sama berulang lagi.
Kerajaan juga banyak menyediakan peruntukan membaik pulih infrastruktur termasuk jalan raya dan sebagainya. Bantuan mangsa banjir, jika RM1,000 satu keluarga juga sudah mencecah RM3.68 juta setahun.
Sampai bilakah episod begitu akan berulang? Apa langkah pihak berwajib bagi mengurangkan risiko banjir besar seperti membuat ban atau mendalamkan sungai?
Setiap tahun, jalan-jalan sama ditenggelami air, tidak bolehkah laluan itu ditinggikan?
Bukan menidakkan takdir Tuhan, namun dalam tempoh empat tahun selepas banjir besar, usaha tuntas dapat dilihat, malangnya, paras banjir tetap sama dan jalan sama tetap tenggelam.
Apa sebenarnya tindakan tuntas yang telah dilakukan selepas banjir besar 2021? Tiadakah pakar-pakar di negara ini? Fikirkan, ambilah tindakan, kasihanilah rakyat marhaen.






