KEMAMAN – Seorang pemandu lori diberkas selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti menyeludup baja bersubsidi di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Plaza Tol Cheneh di sini hari ini.
Pemeriksaan di dalam kenderaan yang dipandu suspek pada pukul 2.30 pagi itu menemukan 470 guni baja bersubsidi bernilai RM11,750.
Ketika ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu dalam perjalanan menghantar barangan itu ke Pahang dari Kelantan.
Siasatan awal percaya bekalan baja bersubsidi itu dijual segelintir penduduk dari sekitar Bachok dan Jelawat pada harga RM25 hingga RM30 seguni.
Ketika pemeriksaan suspek gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan penghantaran dan penjualan baja bersubsidi tersebut yang didakwa mahu dijual di Pahang.
Lori dan barangan bersubsidi itu disita sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini. Barangan itu diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli mengesahkan tangkapan tersebut. – KOSMO! ONLINE














