fbpx
SKUAD bola sepak B-23 negara membawa pulang pingat gangsa Sukan SEA Thailand 2025. -FAM

Sukan SEA: Gangsa pengubat duka skuad B-23 negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Skuad bola sepak bawah 23 tahun (B-23) negara tidak pulang dengan tangan kosong apabila menjelmakan pingat gangsa di Sukan SEA Thailand 2025 selepas menewaskan Filipina 2-1, sebentar tadi.

Beraksi di Stadium Nasional Rajamangala, skuad kendalian Nafuzi Zain mempamerkan kebangkitan untuk memastikan Malaysia mencipta kemenangan di temasya dwitahunan tersebut.

Malaysia terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-28 menerusi Danish Hakimi Salahudin yang bijak memanfaatkan situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti lawan.

Bagaimanapun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila penyerang negara, Haqimi Azim Rosli, tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-36 untuk kedudukan terikat 1-1.

Enggan episod malang itu terus menghantuinya, Haqimi Azim bangkit menebus kesilapan apabila meledak gol kemenangan bijak memecah perangkap ofsaid untuk menewaskan penjaga gol Filipina, Nicholas Guimaraes.

Bersambung babak kedua, Filipina kendalian Garrath McPherson cuba bangkit dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu negara, namun kekentalan barisan pertahanan Malaysia berjaya mematahkan setiap percubaan.

Kedudukan 2-1 kekal hingga wisel penamat, sekali gus menyaksikan Malaysia membawa pulang pingat gangsa.

Pingat gangsa tersebut sekurang-kurangnya memperbaiki rekod skuad negara berbanding dua edisi lalu, di mana Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan di Kemboja (2023) dan menamatkan saingan di tempat keempat di Vietnam (2021).

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas bola sepak lelaki adalah pada edisi 2011 di Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI