fbpx
MOHD. YUSOFF

Tiada peletakan jawatan Exco FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tiada gelombang ‘tsunami’ peletakan jawatan semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) melanda Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mungkin akan melumpuhkan badan induk itu.

Menerusi satu kenyataan, Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi menjelaskan, khabar angin yang tular di media sosial ketika ini mengaitkan perkara itu adalah tidak benar dan tidak berasas.

“FAM ingin menyatakan bahawa tiada sebarang peletakan jawatan secara beramai-ramai atau pembubaran barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM seperti yang didakwa. 

“Untuk makluman, pelantikan dan pemilihan semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM dibuat melalui saluran sah dan berperlembagaan, hasil proses pengundian di Kongres FAM selaras Statut FAM serta garis panduan ditetapkan oleh badan induk bola sepak antarabangsa.

“FAM menegaskan bahawa struktur kepimpinan sedia ada terus menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan penuh komitmen demi memastikan kelangsungan tadbir urus serta pembangunan bola sepak negara.

“FAM kekal komited untuk terus beroperasi secara telus, profesional dan berintegriti demi kepentingan bola sepak Malaysia,” katanya.

Mohd. Yusoff sebelum ini turut menjelaskan FAM tidak akan bersikap terburu-buru dalam menentukan tindakan terhadap individu didakwa terbabit isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

“Kita tunggu laporan daripada (pengerusi jawatankuasa bebas), Tun Md. Raus (Sharif) dan daripada siasatan ini, baru kita tengok ada berlaku kesalahan dari segi tatacara pengurusan atau aspek lain. 

“Daripada laporan itu, baru kita akan bertindak dengan membawa (dapatan siasatan) kepada Exco untuk ditentukan,” katanya.

Terdahulu, heboh di laman sosial mendakwa ada cadangan semua Exco FAM meletakkan jawatan, malah sebelum ini, pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan pegawai FAM perlu bertanggungjawab sekiranya terbukti melakukan salah laku berhubung dakwaan pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan negara.

FIFA mengenakan hukuman denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) kepada FAM manakala tujuh pemain warisan terbabit terpaksa membayar CHF2,000 (RM10,000) setiap seorang dan digantung selama 12 bulan.

Tujuh pemain itu ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Menerusi laporan bertulis sebelum ini, Jawatankuasa Rayuan FIFA setebal 64 muka surat mendedahkan alasan penuh badan induk bola sepak dunia itu menolak rayuan dikemukakan oleh FAM dan tujuh pemain terbabit. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN