TEROWONG merupakan solusi kepada cabaran geografi yang sukar dilalui bagi membolehkan hubungan pengangkutan lebih pantas dan efisien merentas kawasan berbukit atau perairan di laut dalam.
Di negara-negara yang mempunyai landskap geografi mencabar seperti Norway, pembinaan terowong merupakan penyelesaian bagi menghubungkan komuniti terpencil atau pulau-pulau kecil, sekali gus meningkatkan mobiliti, ekonomi dan akses kepada perkhidmatan penting.
Tidak hanya itu, pembinaan terowong di Norway juga telah mengangkat nama negara tersebut di mata dunia.
Ia selepas negara Eropah itu membina terowong bawah laut terpanjang dan terdalam di dunia yang dikenali sebagai Rogfast.
Menurut pihak berkuasa jalan raya Norway, Rogfast atau Rogaland Fixed Link merupakan salah satu projek infrastruktur terowong paling besar, dalam dan teknikal di Eropah.
“Terowong bawah laut ini bakal menghubungkan Randaberg dengan Bokn melalui laluan E39, sekali gus menggantikan perkhidmatan feri.
“Laluan ini juga mengurangkan masa perjalanan antara Trondheim dan Kristiansand.
“Dengan panjang mencecah 26.7 hingga 27 kilometer (km) dan kedalaman hampir 392 meter di bawah paras laut, Rogfast bakal menjadi terowong bawah laut paling panjang dan dalam di dunia,” katanya kepada media antarabangsa.
Tambahnya, keunikan projek itu bukan terletak pada rekod dicapai, sebaliknya teknologi pembinaan intensif, sistem keselamatan, kejuruteraan geoteknik dan pendekatan digital yang mengubah landskap terowong moden.
Pembinaan terowong bawah laut bukanlah suatu yang asing bagi Norway dan dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini, sudah ada 28 terowong bawah laut terbina di negara itu.
Secara teknikal, pembinaan Rogfast menggunakan kaedah penggalian tradisional iaitu teknik drill-and-blast, di mana batuan digerudi dan diletupkan secara terkawal sebelum dibersihkan.
Walaupun teknik itu telah lama digunakan, namun cabaran timbul kerana Rogfast merentasi batuan dasar fjord dengan tekanan air sangat tinggi.

Pengurus projek daripada Pentadbiran Jalan Raya Awam Norway, Oddvar Kaarmo, menjelaskan, kajian geoteknik awal mendapati laluan terowong itu merentasi pelbagai zon batuan.
Antaranya seperti gneiss, greenstone, gabbro dan phyllite, malah terdapat zon patahan yang boleh mengakibatkan kebocoran air laut jika tidak ditangani dengan baik.
“Oleh itu, sistem penyegelan kalis air seperti injeksi grout, pemasangan membran, rock bolts, shotcrete serta lining konkrit cast-in-place digunakan secara meluas untuk memastikan kestabilan struktur sepanjang pembangunan terowong.
“Tambahan pula, pembinaan mula dijalankan dari kedua-dua arah menuju ke tengah laut, maka ketepatan penjajaran (alignment) menjadi faktor kritikal.
“Bagi memastikan kedua-dua hujung bertemu dengan ralat kurang daripada beberapa sentimeter sahaja, sistem pemetaan laser tiga dimensi (3D) masa nyata digunakan,” ujarnya.
Katanya lagi, teknologi digital twin yang menghasilkan model 3D terowong membolehkan jurutera memantau setiap pergeseran, mengesan ketidaktepatan secara serta-merta dan menyesuaikan arah penggerudian dengan lebih tepat.

Malah, penggunaan sistem Tunnelling Intelligence oleh pembekal peralatan terkemuka seperti Epiroc menunjukkan bahawa Rogfast tidak hanya bergantung pada teknik tradisional.
Sebaliknya, proses pembinaan turut menggunakan automasi dan analitik data untuk meningkatkan keselamatan serta efisiensi kerja harian.
Salah satu aspek paling mencabar adalah tekanan hidrostatik yang wujud pada kedalaman hampir 400 meter di bawah laut.
Untuk makluman, terowong bawah laut sedia ada seperti Atlantic Ocean Tunnel juga hanya mencapai sekitar 250 meter di bawah laut. Ini menunjukkan bahawa Rogfast beroperasi di zon tekanan yang lebih ekstrem.
“Setiap retakan kecil boleh mengundang kemasukan air laut dalam kuantiti besar, sekali gus membahayakan struktur dan pekerja.
“Oleh itu, sebelum penggalian bermula, pasukan geoteknik menjalankan tinjauan seismik, penggerudian penyiasatan dan ujian kebolehtelapan batuan untuk mengenal pasti zon berisiko.
“Hasil kajian kemudian menentukan kawasan yang memerlukan sokongan batu tambahan atau grout penebat tekanan tinggi,” kongsinya.

Selain itu, Rogfast direka sebagai terowong berkembar (twin-tube) dengan dua lorong dalam setiap tiub, serta laluan silang (cross passages) pada jarak tertentu.
Ini memberi tahap keselamatan tinggi kerana pengguna boleh berpindah ke tiub bertentangan ketika kecemasan.
Uniknya, terdapat satu pusingan trafik (roundabout) bawah laut terbesar di dunia dibina pada kedalaman lebih 260 meter untuk menghubungkan laluan utama dengan terowong cabang ke Pulau Kvitsøy.
Proses pembinaan pusingan trafik itu bukan saja rumit dari sudut struktur, sebaliknya memerlukan sistem ventilasi, kawalan trafik dan pengurusan risiko lebih kompleks berbanding terowong bawah laut biasa.
Kongsi Kaarmo lagi, sistem ventilasi Rogfast menampilkan penggunaan kipas jet kuasa tinggi untuk menyalurkan udara segar serta mengeluarkan asap, habuk dan gas dilepaskan ekzos.
Dalam terowong sepanjang lebih 25km itu, ventilasi longitudinal mesti direka dengan kapasiti besar bagi mengurus aliran udara ketika trafik padat.
“Jika insiden kebakaran berlaku, sistem ini perlu mengalihkan asap dengan terkawal bagi membolehkan pengguna membuat evakuasi secara selamat.
“Dalam keadaan kecemasan, laluan silang, zon perlindungan, sistem kamera, sensor gas serta pusat kawalan pintar memainkan peranan penting bagi memastikan tindak balas pantas serta tepat,” jelasnya.
Selain itu, pengurusan batuan sisa adalah cabaran terbesar dalam projek itu. Berpuluh-puluh juta meter padu batu yang digali perlu dibawa keluar dan diproses semula.
Sebahagiannya digunakan semula untuk kerja tebus guna tanah, projek pembinaan tempatan atau dipindahkan ke tapak pembuangan khas.
Logistik pengangkutan batu ini perlu diselaraskan dengan ketat bagi mengelakkan gangguan kepada komuniti berhampiran dan meminimumkan impak terhadap alam sekitar.
Untuk memahami keunikan Rogfast, perbandingan dengan terowong ikonik lain adalah penting. Sebagai contoh, Lærdal Tunnel sepanjang 24.51km yang juga terletak di Norway kini memegang gelaran terowong jalan darat terpanjang di dunia.
Walaupun panjang, namun terowong Lærdal terletak dalam batuan gunung, bukan di bawah laut.
Lærdal menunjukkan kepakaran Norway dalam terowong panjang, tetapi tidak menyentuh aspek cabaran bawah laut yang dihadapi oleh Rogfast.
Sebaliknya, Atlantic Ocean Tunnel lebih relevan sebagai rujukan kerana ia adalah terowong bawah laut sejauh hampir 5.8km dengan kedalaman sekitar 250 meter.
Terowong itu juga dibina menggunakan teknik drill-and-blast dengan sokongan shotcrete dan rock bolts, selain dilengkapi sistem saliran untuk mengurus kebocoran air masin. Walaupun mempunyai ciri kejuruteraan bawah laut, namun skala dan kedalaman Atlantic Ocean Tunnel jauh lebih kecil berbanding Rogfast.
Sekiranya Atlantic Ocean Tunnel dianggap pencapaian besar pada zamannya, namun Rogfast lima kali lebih panjang, hampir dua kali lebih dalam dan kompleks dari sudut reka bentuk.
Dari perspektif pembangunan jangka panjang, Rogfast mewakili generasi baharu terowong bawah laut yang menggabungkan teknik klasik, inovasi digital serta keupayaan kejuruteraan moden untuk menangani geologi kompleks.
Pelaksanaan projek yang dijangka siap pada tahun 2033 itu bukan sahaja membuktikan keupayaan Norway sebagai negara perintis dalam pembinaan terowong bawah laut, malah menjadi model buat negara-negara lain.














