IPOH – Pendapatan lumayan mencecah ratusan ribu ringgit yang dijana menerusi perlombongan bitcoin menyebabkan sindiket itu tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di negeri ini.
Bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, mereka sentiasa mengubah modus operandi dan yang terbaharu, menempatkan hanya empat hingga lapan mesin dalam sesebuah premis, berbanding 100 mesin tahun lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, taktik itu digunakan bagi mengelakkan penggunaan elektrik yang tinggi di lokasi tersebut.
“Sindiket juga biasanya hanya memasang dan meninggalkan mesin-mesin tersebut di premis. Jika berlaku kerosakan terhadap mesin, mereka akan meminta bantuan juruteknik dan biasanya golongan inilah (juruteknik) yang polis berkas,” katanya.
Menurut beliau, nilai dagangan 1 Bitcoin (BTC) bersamaan AS$90,716.60 (RM358,564.17) menjadi penyebab utama pertambahan aktiviti tersebut.
Sejak Januari hingga Oktober lalu, sebanyak 275 kes dicatatkan, dengan 27 kes diselesaikan melibatkan 40 tangkapan.
“Kes dicatatkan tahun lalu sebanyak 148 kes, sekali gus menunjukkan peningkatan 85 peratus disebabkan harga bitcoin naik dengan ketara.
“Ia juga menunjukkan keyakinan tinggi rakyat Malaysia terhadap potensi teknologi kripto sebagai alternatif kepada pelaburan tradisional,” katanya.
Dari segi rampasan, beliau berkata, sebanyak 1,329 mesin bernilai RM1,594,800 dirampas dan 49 daripadanya dilupuskan.
Sebanyak 151 kawasan perumahan dan 124 premis perindustrian dikesan sebagai lokasi aktiviti melombong bitcoin secara haram di Perak terutama di Manjung, Perak Tengah dan Ipoh.
“Sindiket cenderung pilih lokasi tapak projek terbengkalai. Ada juga yang menceroboh masuk rumah kosong dan premis yang tidak beroperasi tanpa pengetahuan pemiliknya untuk melakukan aktiviti tersebut.
“Selain itu, penggunaan papan tanda perniagaan palsu, seperti kedai tinted (pemasangan filem penghadang haba) untuk mengaburi aktiviti mereka daripada pengetahuan jiran dan pihak berkuasa,” katanya.
Sindiket turut memilih lokasi di mana penyambungan haram boleh dilakukan dengan mudah dan capaian internet tinggi.
Biasanya premis disewakan melalui ejen menyebabkan pemiliknya tidak tahu kediaman mereka dijadikan lokasi melombong bitcoin haram.
“Ini menyebabkan pemilik menjadi mangsa kerana perlu menanggung kos bil elektrik yang tinggi mencecah jutaan ringgit,” katanya.
Pendakwaan berkaitan bitcoin dibuat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) yang membawa hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.
Ia turut melibatkan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 yang mana bagi setiap kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan.














