fbpx
SKUAD berbasikal lebuhraya negara terpaksa mencari hotel baharu selepas penginapan yang disediakan pihak penganjur terlalu jauh dengan venue perlumbaan.

Sukan SEA: Skuad berbasikal lebuhraya terpaksa tukar penginapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Skuad berbasikal lebuhraya negara terpaksa mengambil tindakan drastik menukar hotel penginapan pada saat akhir selepas mendapati penginapan rasmi yang disediakan penganjur Sukan SEA Thailand 2025 terletak terlalu jauh dari venue perlumbaan.

Tindakan segera itu terpaksa diambil bagi mengelak risiko pelumba negara berdepan keletihan menjelang aksi pembukaan acara ujian masa berpasukan (TTT) lelaki, pagi esok.

Keputusan itu dibuat pasukan negara selepas mendapati hotel rasmi yang disediakan pihak penganjur terletak terlalu jauh dari venue perlumbaan di iaitu sejauh 120 kilometer (km) yang memakan masa perjalanan selama dua jam.

Pengurus pasukan negara, Azman Abu Samah menyifatkan tindakan tuan rumah menyediakan penginapan yang terlalu jauh dengan venue perlumbaan telah menyusahkan semua negara bertanding.

“Bagi saya, tindakan tuan rumah ini tidak masuk akal dan menyukarkan buat semua pasukan bertanding, sekali gus memaksa mereka mencari inisiatif sendiri dengan menyewa hotel berdekatan tempat perlumbaan.

“Bayangkan antara tempat perlumbaan dan hotel penginapan jauhnya 120km. Jika pasukan Malaysia kekal di sana, pergerakan perjalanan esok perlu bermula jam 5.30 pagi dan dijangka sampai 7.30 pagi.

“Perlumbaan TTT lelaki ini akan bermula jam 9 pagi esok. Jadi untuk memastikan pelumba cukup rehat dan menumpukan perhatian terus terhadap perlumbaan, kami memutuskan untuk memindahkan pelumba ke hotel yang lebih dekat,” katanya.

Tegas beliau, langkah memindahkan pelumba yang akan beraksi esok itu bukan sahaja dilakukan oleh Malaysia, malah turut diikuti negara-negara lain yang enggan mengambil risiko.

Skuad negara akan memulakan cabaran 9 pagi esok menerusi acara lelaki  yang dibarisi Kee Zhe Vie, Mohamad Zawawi Azman, Muhammad Nur Aiman Rosli dan Muhammad Ameer Ahmad Kamal.

Manakala saingan sebelah petang (3 petang) akan tertumpu kepada acara Kriterium Wanita sejauh 28.5km itu akan menampilkan taruhan pelumba berpengalaman negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir, Nurul Nabilah Mohd Asri dan Intan Suraya Tokiman. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN