MACHANG – Seorang pelajar perempuan yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Machang, di sini maut selepas dirempuh sebuah motosikal semasa melintas jalan di dalam kampus tersebut, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, mangsa yang berusia 19 tahun dan merupakan pelajar semester ketiga Fakulti Pengurusan dan Perniagaan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, siasatan awal mendapati, sebuah motosikal jenis Honda RS-X 150 ditunggang seorang lelaki yang merupakan pelajar Fakulti Perakaunan sedang dalam perjalanan dari arah pintu utama UiTM Cawangan Machang untuk pulang ke asrama.
Menurutnya, semasa motosikal tersebut sedang mendaki bukit, mangsa yang berasal dari Marang, Terengganu dipercayai melintas jalan secara mengejut.
“Keadaan itu menyebabkan penunggang motosikal yang berusia 20 tahun dan berasal dari Shah Alam, Selangor mengelak ke kiri, namun tetap merempuh mangsa.
“Pelajar perempuan itu terjatuh di atas pembahagi jalan dan mengalami kecederaan pada bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Ahmad Shafiki memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Machang untuk dibedah siasat.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE














