SEBERANG JAYA – Seorang penganggur yang dipercayai membunuh dan menyimpan mayat isterinya selama empat hari dalam bilik tidur di rumah sewa mereka di flat Jalan Tuna, Seberang Jaya di sini, semalam direman tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman terhadap suspek berusia 28 tahun itu dikeluarkan Majistret J. Savinder Singh sehingga 18 Disember ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, suspek dilihat selamba ketika wajahnya dirakam jurugambar sewaktu dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada pukul 8.45 pagi tadi. Pemuda itu yang memakai baju lokap berwarna jingga, diiringi anggota Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) yang lengkap bersenjata.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang lelaki dipercayai menikam isterinya dengan senjata tajam sebelum menyimpan mayat mangsa dalam bilik tidur selama empat hari sebelum menyerah diri di balai polis berhampiran semalam.
Difahamkan, suspek dan mangsa berusia 44 tahun yang merupakan janda anak lima berkahwin kira-kira dua tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris dilaporkan berkata, suspek hadir sendiri ke balai polis dan mengaku telah membunuh isterinya. -KOSMO! ONLINE














