PETALING JAYA – Luahan seorang guru mengenai tekanan yang ditanggung selepas merampas telefon bimbit dan vape milik pelajar asrama mencuri tumpuan di media sosial apabila tindakan mendidiknya berakhir dengan laporan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) oleh ibu bapa.
Perkara itu didedahkan oleh seorang pempengaruh yang juga bekas guru, Mohd Fadli Salleh di Facebook menerusi satu hantaran memaparkan tangkap layar aduan guru berkenaan.
Menurut guru tersebut, dia terpaksa menjawab siasatan pegawai pendidikan selepas ibu bapa tidak berpuas hati, walaupun barangan dirampas jelas melanggar peraturan sekolah.
“Gara-gara nak cegah benda ni, akhirnya saya yang kena SISPAA. Sekarang di sekolah baharu, sudah hilang roh nak mendidik. Datang mengajar saja, cukup bulan ambil gaji,” tulis guru tersebut.
Menurut Fadli, tekanan berterusan menyebabkan guru berkenaan mengambil pendekatan ‘playsafe’ dan hanya mengajar tanpa campur urusan disiplin bagi mengelakkan tindakan tatatertib yang boleh menjejaskan kerjayanya.
Fadli turut menggesa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) lebih tegas menapis aduan remeh serta menyatakan sokongan terbuka kepada guru yang menjalankan tugas mengikut prosedur.
“Bantu, bagi sokongan secara terbuka. Tunjukkan jabatan sentiasa sokong guru yang jujur dan ikhlas mendidik,” katanya. – KOSMO! ONLINE














