AINA menjana pendapatan dengan menjual setiap karyanya melalui media sosial.

Aina jadikan hobi ketika pandemik sebagai kerjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Di sebuah bilik kecil di Nilai, Negeri Sembilan, seorang gadis muda tekun melakar setiap garisan dengan penuh teliti.

Tiada siapa menyangka bahawa hobi yang lahir kerana kebosanan ketika pandemik Covid-19, akhirnya menjadi kerjaya sepenuh masa buatnya.

Itulah kisah Aina Afiqah Azman, 23, seorang pelukis muda yang memulakan perjalanan seninya bukan daripada kelas formal atau studio profesional, sebaliknya daripada rasa ingin mencuba dan percaya pada proses.

Berkongsi dengan K-Remaja, gadis yang mesra disapa Aina itu berkata, perjalanannya dalam dunia seni tidak bermula seawal artis lain.

“Saya sebenarnya mula melukis agak lewat berbanding ramai artis lain.

“Selepas habis Sijil pelajaran Malaysia (SPM), dan semasa dunia dilanda pandemik Covid-19, saya baru cuba melukis untuk menghilangkan rasa bosan.

“Namun ketika itulah saya sedar ada minat melukis dalam diri. Sejak itu, saya mula melakukannya secara serius,” ujarnya.

Aina tidak mempunyai pendidikan formal dalam seni. Semua kemahiran yang dimilikinya pada hari ini datang daripada proses mencuba dan memerhati.

Dengan berpandukan tutorial dan eksperimen, Aina perlahan-lahan mengasah bakatnya sehingga menjadi sumber pendapatan.

“Semuanya belajar sendiri sahaja sama ada daripada pengalaman, tutorial dalam YouTube atau pemerhatian terhadap karya artis lain.

“Kebanyakannya adalah ‘trial and error’. Saya belajar untuk memahami tekstur, warna, teknik shading dan blending secara perlahan-lahan,” katanya yang minat melukis potret haiwan peliharaan.

Sementara itu, Aina memaklumkan, momen yang mengubah hidupnya dalam bidang lukisan adalah selepas dia menghadiahkan potret kucing kepada seorang rakan.

Jelasnya, reaksi rakannya sangat positif dan mengesyorkan dia untuk serius dalam bidang seni.

Ini menyebabkan Aina nekad untuk memulakan perniagaan berasaskan hobi itu. Sebelum mula melukis, dia biasanya akan mencipta suasana yang menenangkannya.

“Biasanya, saya akan pasang lagu mengikut mood atau cuaca.

“Kadang-kadang saya suka lagu slow, ada masa saya dengar lagu upbeat.

AINA gemar melukis potret haiwan terutama kucing.

“Ada masanya, saya buka vlog YouTube untuk dijadikan ‘white noise’,” ceritanya tentang rutin ketika melukis.

Rutin itu telah membantunya untuk kekal fokus dan produktif sepanjang proses berkarya.

Perjalanan seni Aina tidak selalu mudah. Ketika di universiti, ketidaktentuan pendapatan membuatkannya memilih untuk berhenti melukis seketika.

“Pendapatan daripada komisyen tidak konsisten dan sukar untuk saya menampung kos pembelajaran.

“Waktu itu, saya berhenti melukis selama beberapa bulan. Namun, sokongan keluarga dan rakan-rakan telah membuatkan saya rasa dihargai, serta kembali yakin untuk melukis,” katanya.

Sebagai seseorang yang pernah bimbang tentang ketidakstabilan kewangan, Aina memahami keresahan ramai anak muda yang mahu menjadi pelukis, namun bimbang tentang pendapatan.

“Kebimbangan tentang kewangan itu sangat normal. Nasihat saya, mereka perlu sentiasa konsisten kerana visibility sangat penting.

“Bagi saya, anda perlu bermula, biarpun karya anda belum sempurna. Media sosial adalah platform cukup baik untuk berkembang, mendapat maklum balas dan berhubung dengan artis lain,” katanya.

Daripada hobi ketika pandemik kepada kerjaya sepenuh masa, perjalanan Aina membuktikan bahawa minat yang diasah dengan konsisten, ditambah sokongan orang di sekeliling mampu membuka jalan tidak disangka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN