MELAKA – Perbuatan sepasang suami isteri mencuri barangan termasuk ikan cencaru, kicap, bir dan pewangi ketiak di pasar raya berbalas apabila mereka dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM400 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Tengku Azman Tengku Jalal, 46 dan isterinya, Siti Nurulaini Johari, 40, selepas mereka mengaku salah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, mereka mencuri lima ekor ikan cencaru, kicap Kipas Udang manis dan empat tin minuman Guinness Foreign Extra Stout, dua Rexona Shower dan Rexona Advance serta WC precut 12 keping seberat 1.6 gram bermilai RM70.69 milik pasar raya Lotus Cheng, Taman Paya Rumput Utama di sini.
Perbuatan itu dilakukan pada pukul 6.30 petang, 27 September 2023. Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Peguam Amritpal Singh memohon hukuman ringan diberikan ke atas anak guamnya dengan alasan tertuduh lelaki bekerja sebagai penghantar barang, manakala isterinya suri rumah dan menghidap penyakit buah pinggang.
Pasangan itu menanggung tiga anak yang masih kecil, selain telah insaf.
Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliyah Ahmad Kamarulnajuib bagaimanapun mencadangkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap kedua-dua tertuduh dan masyarakat.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari bermula hari ini dan denda RM400 atau dua bulan penjara sekiranya gagal bayar terhadap kedua-dua tertuduh tersebut. – KOSMO! ONLINE














