fbpx
BINAAN Kekunang Tering Chalet di Pantai Kunang-Kunang di Pekan yang musnah akibat hakisan pantai.

Pantai Kunang-Kunang sudah lenyap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN, MOHD. AZLI ADLAN, MOHD. YUNUS YAKKUB, NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN dan MUHAMAD ZIKRI

PEKAN – Keindahan kunang-kunang yang mewarnai kegelapan malam sekitar Pantai Tanjung Batu di Kekunang Tering Chalet sememangnya menjadi satu tarikan unik yang jarang ada di tempat lain.

Kerlipan kunang-kunang di pokok dan di atas rumput selain keindahan matahari terbit di kawasan dikenali Pantai Kunang-Kunang itu telah lama menjadi daya tarikan pengunjung dari dalam dan luar negara.

Jadi tidak hairanlah Kekunang Tering Chalet tidak putus-putus dikunjungi pelancong tempatan dan luar negara malah menjadi ‘markas’ kumpulan pelancong berbasikal dari luar negara yang datang ke negara ini.

Namun kini mungkin pelancong-pelancong yang menghitung hari kembali ke sini selepas berakhirnya pandemik Covid-19 terkejut apabila Pantai Kunang-Kunang ini telah musnah dan kunang-kunang yang sentiasa mewarnai keindahan pantai itu lenyap buat selamanya akibat hakisan.

PANTAI Bagan Pasir dikhuatiri hilang daripada peta Tanjong Karang, Selangor dalam tempoh lapan tahun lagi.

Berdasarkan kepada tinjauan Kosmo! Ahad baru-baru ini mendapati kawasan pantai berhampiran Kampung Tanjung Batu itu dipenuhi pokok-pokok yang tumbang dan sisa konkrit dan kayu yang musnah.

Pejabat Kekunang Tering Chalet, rumah atas pokok dan fasiliti lain kelihatan musnah sebahagian dan keseluruhan, malah ada yang sudah hilang dibawa air pasang dan ombak deras.

Pemilik Kekunang Tering Chalet, Edde Firdaus Abdul Aziz, 41, berkata, ombak dan air pasang yang berlaku bermula 1 Januari hingga 5 Januari lalu telah memusnahkan hampir keseluruhan kawasan peranginan berkenaan.

“Setiap tahun saya mempertahankan kawasan ini dan menganggap ia boleh bertahan tiga hingga empat tahun lagi tetapi kini saya anggap tempat ini sudah tidak boleh diselamatkan lagi.

“Saya berasa begitu sedih kehilangan khazanah berharga ini yang mana pada masa ini kira-kira satu ekar (0.4 hektar) kawasan yang saya bangunkan sejak enam tahun lalu itu telah bertukar menjadi laut dan tinggal hanya sebahagian kecil yang hampir musnah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau memberitahu, keunikan kunang-kunang membuatkan chalet berkenaan tidak putus-putus dikunjungi pelancong dalam dan luar negara malah menjadi lokasi pelancong berbasikal berkumpul.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Abdul Manan Md. Amin, 56, berkata, air pasang besar pada awal tahun lalu sampai ke jalan utama dan menenggelamkan chalet dan rumah penduduk berhampiran.

Beliau yang turut bekerja di chalet berkenaan memberitahu, kawasan itu kini bertambah teruk apabila semakin terhakis malah kunang-kunang yang menjadi tarikan utama di situ juga telah hilang.

 

Ancaman hakisan masih berlaku

 

PONTIAN – Ancaman hakisan masih berlaku di beberapa buah kampung di Mukim Serkat, Pontian, dekat sini walaupun kerajaan sudah mengambil pelbagai langkah sejak 30 tahun lalu bagi mengurangkan kesannya.

Pelaksanaan Projek Rancangan Johor Barat (RJB) pada tahun 1975 di kawasan Pontian telah banyak menyelamatkan tanah-tanah daripada ancaman ha­kisan dengan adanya pembinaan benteng di sepanjang pantai.

Bagaimanapun, ancaman ha­kisan masih berlaku berdasarkan kepada pokok-pokok bakau yang mati yang dapat dilihat di jeti nelayan seperti di Perpat Timbul, Pengkalan Nelayan Tanjung Piai, Pengkalan Nelayan Parit Penghulu dan sebagainya.

Seorang nelayan, Mansor Mahidin, 70, mendakwa salah satu punca berlaku hakisan pantai ialah berlakunya kegiatan perkapalan yang banyak di perairan Tanjung Piai dengan ada­nya Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

Katanya, kapal-kapal besar yang melalui perairan Tanjung Piai menyebabkan berlakunya alunan ombak kuat sekali gus memusnahkan pokok-pokok bakau yang selama ini menjadi sebagai pelin­dung pantai.

“Tanjung Piai adalah pertemuan tiga arus iaitu Selat Johor, Selat Melaka dan Selat Singapura yang sentiasa sibuk dengan laluan kapal-kapal dagang pada setiap masa,” kata­nya kepada K­osmo! Ahad baru-baru ini.

Tambah Mansor, pelaksa­naan tebing pemecah ombak di Tanjung Piai, telah mengurangkan tekanan ombak seterusnya ha­kisan dapat dikurangkan.

“Selain kehadiran kapal-kapal dagang, faktor lain menyebabkan hakisan itu, termasuk air pasang besar yang berlaku dua kali dalam sebulan serta tempoh kritikal fenomena itu antara Oktober hingga Februari setiap tahun,” ujarnya.

Katanya, pembinaan benteng penting bagi menghalang berlakunya hakisan pantai serta menyelamatkan perkampungan yang berhampiran seperti di Kampung Perpat Timbul dan Kampung Tanjung Piai di sini.

Menurut Mansor, pihaknya berterima kasih dengan kerajaan yang sentiasa prihatin de­ngan nasib para nelayan yang kini telah beralih sebagai petani dan penternak bagi meneruskan ke­langsungan hidup.

“Sebagai contoh bagi menyelamatkan Taman Negara Tanjung Piai daripada ancaman hakisan yang kehilangan 7 meter tanah pantai setiap tahun, kerajaan te­lah membina benteng pemecah dengan kos RM80 juta pada 2014.” jelasnya.

Bagi Jamadin Atan, 58, pula berkata, masalah hakisan tidak menjejaskan penempatan penduduk di Tanjung Piai kerana jauh dari kawasan pantai, namun kesan lain ialah semakin kurang kawasan tangkapan ikan.

Katanya, para nelayan tidak menghalang projek yang dilakukan oleh pihak berkuasa untuk mencegah hakisan pantai kerana ianya merupakan tanggungjawab kepada semua pihak termasuk sektor pelancongan.

Katanya, ini amat bertepatan kerana Tanjung Piai dikenali de­ngan Taman Negara yang menjadi tumpuan dari seluruh dunia untuk melihat sendiri Titik Peng­hujung Benua Asia di kawasan tersebut.

“Kami berharap masalah ha­kisan yang berlaku di Tanjung Piai tidak akan memberikan kesan jangka panjang kepada nelayan yang bergantung hidup kepada hasil tangkapan laut de­ngan adanya langkah-langkah pengawalan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN