fbpx
AWIE bersama dua anak perempuannya, Putri Aleefa dan Putri Aleeya serta isterinya, pada majlis konvokesyan di MSU, Shah Alam hari ini. - AFIQ RAZALI

Awie syukur dua anak genggam ijazah di MSU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Hanya rasa syukur dapat diungkapkan penyanyi Datuk Awie apabila dua anak perempuannya berjaya menamatkan pengajian di Management and Science University (MSU).

Lebih membanggakan, salah seorang daripada mereka, Putri Aleefa Antasha Ahmad Azhar, 23, dipilih sebagai penerima Anugerah Industri setelah memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.78 dalam Ijazah Sarjana Muda Kreatif Video dan Fotografi.

Manakala seorang lagi anaknya, Putri Aleeya Antasha Ahmad Azhar, 25 berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Acara.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, dia menitikberatkan pendidikan kepada semua anaknya kerana melihat pendidikan dapat mengubah nasib anaknya.

“Syukur kerana dua anak telah habiskan pengajian mereka. Seorang lagi anak, Putra Ahmad Merah sedang belajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

“Saya tidak halang anak untuk minat apa-apa bidang. Cuma saya pesan kepada mereka, minat apa pun, janji mereka habiskan pengajian mereka,” katanya ketika Majlis Konvokesyen MSU ke-36 di sini, hari ini.

Awie mengakui ilmu amat penting meskipun seseorang itu bergiat dalam dunia hiburan yang penuh glamor.

Baginya, ilmu dapat mematangkan seseorang dalam menempuh apa-apa sahaja cabaran yang dihadapi, selain dapat membantu mengecapi matlamat yang disasarkan.

Sementara itu, Putri Aleefa gembira dapat membahagiakan ayah dan ibunya (bekas isteri Awie), Arni Nazira dengan pencapaian yang diperoleh.

“Saya kini bekerja sebagai krew produksi bebas (freelance). Saya akan kerja dengan mana-mana syarikat produksi yang minat mengambil perkhidmatan saya.

“Impian saya untuk menjadi penerbit filem pada masa akan datang. Ayah (Awie) ada juga minta saya berlatih tulis skrip sebagai persediaan ke arah itu (menerbit filem),” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN