PETALING JAYA – “Aku rasa aku tidak akan jumpa bos sebaik (Allahyarham) Datuk Seri Bung Moktar Radin”.
Demikian luah seorang lelaki dikenali Magon Line yang sudah bertugas selama hampir 17 tahun bersama arwah.
“Aku reda atas pemergianmu bos, aku ikhlas tapi yang buat aku sedih disebabkan kasih sayang dan cinta terhadapmu bos seperti anak dan bapa. Aku sayang kau bos.
“Terima kasih bos sebab pungut aku dari tiada apa-apa dan jaga aku selama hampir 17 tahun. Bos adalah hamba Allah yang sangat baik, pemurah dan selalu bersedekah kepada orang susah,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, dia turut mendoakan agar pemergian arwah diberkati selain mengenang pelbagai memori suka duka bersamanya.
“Tiada lagi panggilan ajak pergi padang golf dan bila hari raya atau Persidangan UMNO, bos cari aku. Aku doakan bos ditempatkan di syurga Allah,” ujarnya.
Sebelum ini, Ketua UMNO Sabah, Bung Moktar, 66, disahkan meninggal dunia semalam.
Anak Allahyarham, Naim Moktar memaklumkan pemergian bapanya menerusi hantaran di laman Facebook kira-kira pukul 2 pagi. ”Assalamualaikum. Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Moktar bin Radin telah menghembuskan nafas terakhir pada 5 Disember 2025, pukul 1.46 pagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














