PETALING JAYA – Terkilan kelengkapan menyelamnya hilang dipercayai dicuri, pelakon Beto Kusyairi berharap barangan peribadi miliknya itu tidak dapat berfungsi di tangan si pencuri kelak.
Beto atau nama lengkapnya Nur Kusyairy Zakuan Osman, 45, berkata peralatan yang hilang termasuk jaket penyelam atau Buoyancy Control Device (BCD) serta alat pernafasan penyelam (regulator).
“Kepada yang rembat BCD dan regulator aku, semoga barang itu mengalami kerosakan atau gangguan pada kedalaman 20 hingga 30 meter,” tulisnya di Threads.
Difahamkan, kedua-dua barangan yang berharga mencecah ribuan ringgit itu didapati tiada ditempat asal selepas dijemur.
Begitupun, menjawab pertanyaan peminat, Beto mengakui kini sudah tidak lagi menanggung perasaan sakit hati.
“Semuanya okey, kena ‘move on’. Setakat itu sahaja khidmat kepada aku,” ujarnya.
Menerusi ruangan komen, ramai netizen menzahirkan perasaan simpati dengan situasi menimpa pelakon filem Gayong itu.
Tidak kurang juga yang percaya peralatan menyelam terbabit cuba dijual pencuri terbabit untuk dapat untung secara mudah.
“Ada yang disimpankan tu. Insya-Allah boleh jumpa balik. Dunia divers bukan besar mana. Balik-balik jumpa orang sama,” tulis netizen.
Beto merupakan antara selebriti yang sudah bertahun-tahun mempunyai lesen menyelam scuba, selain aktif dalam aktiviti lasak seperti, terjun bungee, paraligding serta sukan permotoran. – KOSMO! ONLINE














