fbpx
MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, ketika sidang media sejurus mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 Malaysia tahun 2027 di Menara KBS hari ini. -KBS

Malaysia tawar 38 jenis Sukan SEA 2027

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Teka-teki mengenai acara yang bakal dipertandingkan pada Sukan SEA Malaysia 2027 akhirnya terjawab apabila Malaysia menyenaraikan 38 jenis sukan sebagai taruhan awal pada temasya yang dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 29 September itu.

Senarai yang merangkumi sukan bertaraf Olimpik itu diputuskan secara strategik dengan mengambil kira venue sedia ada terutama menganjurkan empat negeri berbeza iaitu Sarawak, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pemilihan 38 sukan ini dibuat berdasarkan ketetapan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) serta pertimbangan program berprestasi tinggi seperti Road To Gold (RTG) dan Program Podium.

Katanya, cadangan senarai sukan tersebut akan dibentangkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke mesyuarat SEAGF di Bangkok pada 8 Disember ini.

“Pengumuman tarikh Sukan SEA 2027 dari 18 hingga 29 September 2027 adalah dipilih secara strategik kerana 18 September merupakan musim cuti universiti manakala dari sudut meteorologi, tempoh ini masih sebelum bermulanya musim tengkujuh, sekali gus memastikan keadaan cuaca lebih stabil untuk penganjuran sukan luar.

“Penetapan tarikh ini juga dibuat bagi memastikan temasya berlangsung selepas Hari Kebangsaan (31 Ogos) dan Hari Malaysia (16 September), serta tidak bertembung dengan sebarang acara besar lain,” kata Hannah dalam sidang media selepas mesyuarat di Menara KBS, hari ini.

Sarawak diberi penghormatan tertinggi apabila bukan sahaja dipilih sebagai lokasi upacara pembukaan, malah bakal menjadi gelanggang bagi jumlah sukan terbanyak iaitu 17 acara.

Sarawak bakal menjadi tumpuan bagi sukan berprofil tinggi seperti sukan akuatik (renang & terjun), taekwondo, memanah, wushu dan tenis.

Turut dipertandingkan di sana adalah angkat berat, bola keranjang, boling, boling padang, e-Sukan, gimnastik, golf, kriket, menembak, muay, petanque dan skuasy.

Kuala Lumpur kekal menjadi nadi penting temasya dengan 14 jenis sukan, termasuk lokasi upacara penutup.

Kluster Kuala Lumpur akan menjadi medan buruan pingat bagi sukan badminton, hoki, olahraga, pencak silat, bola jaring dan karate.

Sukan lain dalam kluster ini termasuk bola tampar, ekuestrian, lawan pedang, luncur ais, ragbi, ski air, serta dua sukan di venue luar iaitu berbasikal (Velodrom Nasional, Nilai) dan pelayaran (Langkawi).

Sementara itu, peminat bola sepak akan mengalihkan tumpuan di selatan tanah air apabila kluster Johor dikhususkan sepenuhnya untuk acara perlawanan bola sepak.

Sementara itu, kluster Pulau Pinang akan menjadi tuan rumah kepada enam sukan iaitu sepak takraw, snuker & biliard, judo, tinju, pingpong dan floorball.

Dalam pada itu, Hannah turut mengumumkan tarikh penganjuran Sukan Para ASEAN ke-14 iaitu dari 17 hingga 23 Oktober di Kuala Lumpur membabitkan 18 jenis sukan.

Sukan yang bakal dipertandingkan adalah akuatik renang para, badminton para, berbasikal para, boccia, bola keranjang berkerusi roda, bola sepak CP (cerebral palsy), bola sepak VI (vision impairment), catur para, goalball, judo para, lawan pedang berkerusi roda, memanah para, menembak para, olahraga para, ping pong para, powerlifting, tenis berkerusi roda dan tenpin boling para.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu adalah pada 2017 dengan ketika itu kontinjen negara muncul juara keseluruhan dengan 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN