KETUA jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak menganggap sasaran pingat emas diletakkan ke atas gandingan Pearly Tan-M. Thinaah pada Sukan SEA Thailand 2025 adalah satu keputusan wajar.
Ia berikutan status beregu berkenaan yang berada pada tangga kedua ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selain merupakan naib juara Kejohanan Badminton Dunia di Paris, Perancis pada Ogos lalu.
Rosman berkata, sasaran itu bukan sekadar untuk Sukan SEA semata-mata memandangkan beliau mahu anak-anak buahnya turut mencatat keputusan cemerlang dalam mana-mana kejohanan di pentas tertinggi.
“Saya rasa sasaran (pingat emas) itu memang wajar dan kalau diikutkan ranking pun, itulah sasarannya. Untuk Pearly-Thinaah, bukan sahaja Sukan SEA, malah kejohanan-kejohanan lain pun perlu berdepan jangkaan tinggi.
“Kita menerima sasaran yang diletakkan tetapi enggan meletakkan diri dalam tekanan kerana kejohanan-kejohanan lain juga, kita berdepan situasi sama. Jadi, anggap ini perkara biasa,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara sebelum berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Pada Sukan SEA kali ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menghantar pasukan terkuat ke temasya dwitahunan itu selain meletakkan sasaran tujuh pingat keseluruhan termasuk empat pingat emas.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia membawa pulang pingat emas dalam sukan badminton adalah pada edisi 2021 di Hanoi, Vietnam menerusi gandingan beregu campuran, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei.
Sementara itu, Rosman menyifatkan Pearly-Thinaah akan turun dengan motivasi cukup tinggi di Thailand nanti memandangkan ini merupakan penampilan pertama mereka pada temasya sukan Asia Tenggara itu.
“Memang ia menjadi motivasi tambahan kerana mereka cakap tidak pernah bermain di Sukan SEA sebelum ini. Penampilan pertama di Sukan SEA pastinya menjadi pembakar semangat untuk mereka berdua,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














