PETALING JAYA – Seorang wanita berang apabila jirannya seolah-olah memandang enteng perbuatan kanak-kanak memecahkan cermin rumah semasa bermain bola, malah menolak tuntutan ganti rugi yang dibuat.
Katanya, ibu kepada kanak-kanak tersebut turut menganggap kejadian itu sebagai perkara biasa.
“Saya nak cakap, tadi anak akak ada main bola depan rumah, lepas itu terkena cermin sampai pecah. Kalau boleh saya nak minta ganti rugi,” mesej wanita itu kepada ibu kanak-kanak tersebut.
“Alah kau ini cermin je pun tak akan itu pun nak kena ganti, bukannya mahal. Biasalah budak kuat main takkan dengan budak pun kau nak minta ganti,” balas wanita itu.
Pemilik rumah cuba menyelami situasi kejadian sekiranya si ibu tidak mampu membayar ganti rugi dan memaklumkan dia memaafkan kanak-kanak tersebut.
“Tak apalah kalau akak tak mampu tak apa, saya maafkan je,” katanya.
Bagaimanapun, jiranya dilihat seperti tidak berpuas hati dan cuba memanjangkan perkara tersebut termasuk menyentuh isu peribadi wanita terbabit.
“Eh hang ingat aku miskin ka tak mampu bayar. Memang la aku mampu, tapi masalahnya sekarang ini anak aku tu budak lagi biar ja la…macam la kau tak pernah buat salah.
“Kalau tak tau soal anak kau diam je. Oh patutlah dah setahun kahwin kau masih tak dapat anak, rupanya kau tak tahu soal budak,” perli jirannya.
Wanita itu menambah, dia kecewa dengan sikap jirannya selain memaklumkan kejadian tersebut bukan pertama kali dilakukan anak jirannya.
“Dari hari itu lagi saya sabar dengan akak, dari hari itu lagi anak akak buat masalah, hari tu dia baling pasir dekat dalam rumah saya dan main badminton sampai kena cermin kereta saya pecah sikit, yang itu saya sabar lagi tau sebab saya tak nak gaduh.
“Setiap kali saya cakap dengan akak (tentang) anak akak buat masalah, mesti akak cakap anak akak budak lagi, umur dah 11 tahun tau dah boleh fikir bukannya lima tahun,” tegasnya.
Sementara itu, tangkap layar perbualan WhatsApp antara dua wanita tersebut tular di media sosial dan menjadi perbincangan dalam kalangan netizen.
“Tak perlu mesej lagi. Pergi rumah dia pecahkan balik cermin rumah dia tabur je garam, pasir semua,” cadang Felicia Leez.
“Nak tengok perangai anak, macam itulah emak bapanya,” kata Cik Mala.
“Kak, marilah pinjam anak saya kasi pecah segala cermin dekat rumah dia tu pula. Bukan apa, budak kan… tak akan dia nak minta budak ganti rugi pula,” seloroh Katy Fernandez. – KOSMO! ONLINE














