DALAM zaman serba canggih, teknologi sepatutnya menjadi pelengkap hidup manusia, namun di sebalik manfaat tersebut, ancaman penipuan siber semakin menjadi-jadi.
Tidak kira secermat percaturan, kelicikan penjenayah sentiasa selangkah di hadapan, sehinggakan ramai menjadi mangsa, termasuklah figura terkenal tanah air.
Itulah realiti pahit dilalui aktor Datuk Aaron Aziz apabila wajahnya berkali-kali ‘disamun’ sindiket penyamaran, termasuk penipuan cinta atau ‘love scam’.
Bezanya, kali ini bukan wang ringgit melayang, tetapi identiti dilecehkan melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memanipulasi wajah dan suaranya demi memperdaya wanita tidak berdosa.
Ujar pemilik nama sebenar Aaron Mustapha Aziz itu, hatinya makin resah apabila sindiket berkenaan semakin berani mencuri video asal dirinya, sebelum disunting sehingga kelihatan seperti panggilan video sebenar.
“Sudah beberapa kali saya berdepan situasi begitu. Untuk kes ‘love scam’ sahaja, sudah tiga kali wajah saya digunakan individu tak bertanggungjawab.
“Mereka ambil dan sunting semula video saya sampai nampak seperti tengah berbual atau bercinta dengan mangsa.
“Isteri saya pun pernah balas mesej mangsa dan beritahu itu semua hanyalah scam, perkara tersebut sangat menyerabutkan, risau ramai tertipu,” katanya kepada HibGlam.
Tambah lelaki berusia 49 tahun itu, modus operandi sindiket cukup licik, video daripada siaran langsung miliknya turut disalin, kemudian ditampal bagi mencipta panggilan video palsu seakan-akan situasi sebenar.
“Mungkin mereka ambil daripada sesi siaran langsung saya dalam media sosial. Bila saya buat live, mereka muat naik semula dan tampal video itu supaya kelihatan seperti panggilan sebenar.
“Semua demi duit, semata-mata mahukan keuntungan menerusi penipuan,” ujarnya.
Paling kesal kata bintang filem KL Gangster itu, ramai mangsa sanggup menyerahkan wang, malah membuat pinjaman bank kerana percaya dengan profil palsu yang menyamar menggunakan wajahnya.
“Apa yang saya tahu, mangsa pula biasanya wanita berusia, sunyi atau tinggal seorang diri, sekali gus menjadi sasaran mudah
“Bila nampak gambar saya digunakan sebagai selebriti, mereka mudah percaya dan akhirnya terperdaya. Ada yang bagi duit, ada juga sanggup buat pinjaman bank,” luahnya.
Ditanya kebarangkalian punca berlaku, bapa tiga anak itu tidak menolak kemungkinan wujud pihak ketiga yang membocorkan maklumat peribadi termasuk nombor telefon.
“Saya tak tahu dari mana mereka dapat nombor telefon. Mustahil hanya teka secara rawak. Kita pun tak pasti mereka ini daripada bank atau syarikat telekomunikasi.
“Mesti ada pihak ketiga dalam mana-mana syarikat,” jelasnya.
Tahun lalu, Aaron pernah kerugian lebih RM140,000 akibat terjerat dalam sindiket konon pengurusan berkaitan haji.
Dia juga turut membuat laporan polis terhadap empat akaun Instagram yang dikesan menggunakan suara serta gambarnya untuk tujuan penipuan.
Dalam sisi kerjayanya, filem aksi lakonan Aaron berjudul Banduan terus mencipta sejarah apabila mencatat kutipan RM8 juta di pawagam seluruh negara.
Filem arahan Kroll Azry tersebut merupakan adaptasi daripada filem pecah panggung India, Kaithi dan mula ditayangkan pada 6 November lalu.
Banduan mengisahkan seorang banduan membantu pihak polis menumpaskan sindiket dadah ketika dalam perjalanan bertemu anak perempuannya.
Selain Aaron, Banduan menghimpunkan gandingan hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Datuk Afdlin Shauki, Husyairi Hussain, Fadhli Masoot dan Abi Madyan.














