BANGKOK – Raja pecut Thailand, Puripol Boonson menggalas misi cukup besar untuk memperbaiki catatan masa terbaiknya menjelang temasya Sukan SEA Thailand 2025 yang bermula 9 Disember ini.
Pemegang rekod Sukan SEA bagi acara 200 meter (m) menerusi catatan 20.37 saat (s) itu akan beraksi dalam tiga acara pada temasya dwitahunan tersebut iaitu 100m, 200m serta 4x100m lelaki.
Selain memburu kilauan pingat emas di Bangkok, Puripol turut memiliki sasaran peribadi apabila memasang impian untuk menjadi atlet Asia Tenggara pertama yang melakukan catatan masa bawah 10s dalam acara 100m.
“Sasaran utama saya juga adalah menjadi atlet Thailand pertama dalam sejarah yang berlari di bawah 10s. Saya akan cuba beri segala-galanya bagi mencapai impian itu dan menyumbang pingat buat Thailand.
“Kali ini saya beraksi dalam tiga acara iaitu 100m, 200m dan 4x100m. Sasarannya adalah untuk memenangi pingat emas dalam ketiga-tiga acara tersebut selain memecahkan rekod sendiri,” kata Puripol yang memiliki masa terpantas 10.05s bagi 100m.
Atlet berusia 19 tahun itu turut menjelaskan, dia berada dalam keadaan cukup bersedia ketika ini selepas menjalani latihan rapi selain mahu menjadikan Sukan SEA 2025 sebagai medan pemanas badan ke Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun tahun depan
“Saya sudah menjalani latihan keras selama tiga bulan dan memang memberikan sepenuh tumpuan untuk temasya ini. Sudah tentu saya tidak mahu kerja keras yang dilakukan berakhir dengan sia-sia,” ujar Puripol. – AGENSI














