DURIAN runtuh menanti barisan pemain apabila Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) menjanjian sebuah pangsapuri setiap seorang jika berjaya mencipta kejutan merangkul pingat emas pada Sukan SEA Thailand 2025.
Presiden MABA, Datuk Seri Lee Tian Hock mengumumkan ganjaran luar biasa tersebut dan
mengesahkan kondominium dua bilik di Cheras dengan setiap satunya bernilai RM330,000 untuk dihadiahkan kepada para pemain dan jurulatih sebagai motivasi tertinggi.
Selain aset hartanah tersebut, Tian Hock turut menjanjikan insentif tunai tambahan sebanyak RM20,000 setiap seorang jika kilauan emas berjaya dijelmakan di bumi Gajah Perang tersebut.
“Ini adalah kali ketiga saya menawarkan ganjaran sebegini. Saya ada simpan 16 unit bersaiz lebih 700 kaki persegi dengan harga jualan RM330,000. Lokasi rumah di Cheras dan akan siap tidak lama lagi.
“Jika dapat emas, seorang akan dapat satu (rumah). Setiap pemain juga akan diberikan wang tunai RM20,000 sebagai insentif tambahan jika membawa pulang pingat emas,” katanya ketika ditemui sewaktu Majlis Penyerahan Bendera Sukan SEA di Kuala Lumpur semalam.
Bagi pencapaian pingat perak, Tian Hock mengumumkan ganjaran wang tunai RM20,000 setiap seorang, manakala RM10,000 bagi pingat gangsa.
Dalam masa sama, Tian Hock menyuarakan keyakinan peluang Malaysia untuk menaiki podium kali ini lebih cerah susulan perubahan peraturan penganjur.
Jelasnya, tuan rumah, Thailand telah menetapkan syarat bahawa pemain naturalisasi tidak dibenarkan beraksi dengan hanya pemain tempatan sepenuhnya.
“Di Sukan SEA Filipina dan Kemboja sebelum ini, lawan banyak menggunakan pemain import atau naturalisasi yang mempunyai fizikal tinggi, terutamanya Vietnam dan Indonesia mengambil khidmat pemain warisan dari Amerika Syarikat.
“Kali ini Thailand kata tak boleh pakai pemain naturalisasi, jadi anpa pemain import, Vietnam dan Indonesia akan menjadi sedikit lemah. Ini membuka peluang untuk kita bersaing dengan Thailand dan Filipina, sekurang-kurangnya bawa pulang pingat gangsa atau perak,” jelasnya.
Sebagai rekod, MABA meletakkan sasaran untuk membawa pulang dua pingat iaitu perak bagi acara 3 lawan 3 lelaki dan gangsa bagi acara 5 sebelah lelaki dan wanita. – KOSMO! ONLINE














