KUALA LUMPUR – Kegiatan dua pusat kecantikan yang disyaki menawarkan pembedahan plastik haram di kondominium mewah terbongkar dalam serbuan menerusi Ops Dandan, semalam.
Operasi secara serentak bermula pukul 12.45 tengah hari itu dijalankan hasil risikan selama dua minggu oleh Pasukan Taktikal Khas (Pastak).
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan membabitkan empat premis di tiga residensi sekitar Cheras dan Bukit Jalil.
“Hasil siasatan mendapatu dua pusat rawatan kecantikan beroperasi secara haram dengan mengunakan premis kediaman dan doktor warga asing.
“Mereka disyaki menawarkan pembedahan plastik kepada pelanggan secara haram,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Wan Mohammed Saupee berkata, hasil serbuan, pihaknya menahan seramai tujuh wanita warga Vietnam serta dua wanita tempatan yang berperanan sebagai pekerja.
“Kita turut membuat rampasan peralatan pembedahan, ubat-ubatan tanpa kelulusan, alat implan dan wang tunai berjumlah RM9,070,” ujarnya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 55E, Seksyen 56(1(d), 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Sebanyak dua borang saman saksi dikeluarkan kepada pekerja tempatan bagi tujuan siasatan,” tambahnya, – KOSMO! ONLINE














