Spesimen toman bunga cantik yang ditangkap dengan crankbait Tilsan Bass.

Mengilat toman bunga yang elusif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TOMAN bunga atau nama saintifiknya, Channa marulioides merupakan salah satu spesies ikan bak kepala ular (snakehead) yang eksklusif. Ini lantaran statusnya yang sukar didapati di perairan liar atau dalam kata lain populasinya semakin terancam.

Sekarang, jika dapat ikan ini bermakna lokasi pancingan tersebut sememangnya betul-betul jarang diterjah pemancing atau masih lagi ‘dara’.

Uniknya, ikan ini perangainya setiap kali menyambar gewang selalunya ganas dan mengejut. Ia suka menyentak-nyentak kepalanya dan memusingkan badannya banyak kali.

Toman bunga boleh ditemui di empangan, tasik dan kebanyakan sistem sungai terutamanya di kawasan pedalaman serta berpaya.

Ia adalah spesies ikan pemangsa yang gemar taktik serang hendap dan selalunya menjadikan kawasan seperti kuala anak sungai serta aliran air masuk sungai sebagai kubu serang hendapnya. Ini kerana lokasi sebegini merupakan kawasan ikan-ikan kecil berkumpul.

Selain itu, kawasan kayu tenggelam di tepi tebing tasik atau empangan juga menjadi mahligai ikan toman bunga kerana ia dapat menyorok dan menunggu untuk menyerang secara mengejut mangsanya.

Di kawasan lebih terbuka pula, toman bunga gemar ‘meronda’ tebing curam atau tanjung untuk mencari makanannya.

Jadi, jika betul-betul ingin mencari ikan toman bunga, sila beri konsentrasi penuh terhadap lokasi-lokasi tersebut.

Bertahun-tahun mengilat, saya mula menghargai spesies ini bukan sahaja kerana kecantikannya tetapi cabaran yang diberikannya.

Daripada gewang jenis crankbait seperti Tilsan Bass dan Tilsan Barra sehinggalah spinner, spoon dan spinnerbait, toman bunga akan menghentam semuanya jika dipersembahkan dengan betul, namun untuk mendaratkannya satu cerita lain.

Persediaan

Ada satu pelajaran yang saya dapat daripada toman bunga iaitu jangan berkira pada peralatan terminal kerana setiap pertarungan dengan spesies ikan ini akan mendedahkan setiap kelemahan peralatan digunakan.

Seekor toman bunga yang menyambar spoon Johnson.

Sila guna mata kail yang kuat pada gewang anda. Saya secara peribadi lebih suka guna mata tunggal (single hook) berbanding mata tiga (treble hook) kerana ia lebih sukar terkangkang. Saya juga akan meratakan mata pandan atau guna barbles single hook bagi meningkatkan kadar penembusan poin mata kail ke mulut ikan.

Tukar split ring asal gewang kepada yang lebih kuat untuk mengelakkan ia terbuka ketika
anda menghela keluar ikan toman bunga dari rebanya.

Namun, gewang tertentu seperti Tilsan Bass dan Tilsan Barra sudah didatangkan dengan split ring tiga gelung yang cukup kuat untuk toman bunga, jadi tidak perlu ditukar.

Joran dan kekili

Kebiasaannya, saya akan memilih dua kelas peralatan untuk ikan toman bunga berdasarkan lokasi target.

Joran yang cukup kuat pada tulang belakangnya (backbone) untuk menghela ikan keluar dari kawasan sangkut tetapi masih cukup lembut untuk menyerap hentakan ikan terhadap gewang.

Jika kawasan tersebut bereba banat seperti kayu tenggelam atau rumpai air tebal, saya akan gunakan joran kelas medium 12–20lb dengan kekili mempunyai sistem drag kuat dan diisi mainline braided 30lb.

Di kawasan terbuka seperti tanjung, tebing curam dan kuala anak sungai, saya lebih suka joran medium-light 10–17lb.

Toman bunga ini menyambar sesudu Abu Island di kawasan yang dalam.

Ia lebih ringan, fleksibel dan selesa digunakan sepanjang hari. Mainline 20lb braided cukup selesa untuk jarak lontaran lebih jauh dan aksi gewang lebih natural.

Kedua-dua mainline tersebut akan saya padankan dengan perambut mono 25–30lb untuk ketahanan geseran pada struktur serta penyerapan hentakan semasa ikan menghentam gewang.

Pengalaman dan pengajaran

Putaran dan hentakan toman bunga bukan gurauan. Saya pernah lihat spinnerbait dengan wayarnya bengkok 90 darjah di
dua tempat, selepas satu pertarungan dengan ikan ini.

Dalam satu trip di Tasik Kenyir, Terengganu telah membuka mata saya. Saya kena seekor toman bunga monster, joran terhenjut-henjut kuat beberapa kali sebelum terlepas.

Apabila saya karau, mata hadapan gewang telah hilang sepenuhnya, hanya split ring yang remuk tinggal tergantung.

Beberapa minit kemudian, rakan saya pula kena dan perkara yang sama berlaku. Gewangnya balik tanpa mata kail hadapan dan split ring terbuka.

Berdasarkan lokasi dan situasi yang kami alami, saya yakin itu adalah sepasang toman bunga sangat besar yang cuba menguji peralatan kami sampai ke batasnya.

Memilih gewang

Toman bunga adalah spesies ikan yang sangat oportunis, ia akan bedal pelbagai jenis gewang jika persembahannya menggoda. Berikut beberapa pilihan yang terbukti berkesan.
• Crankbait (Tilsan Bass atau Tilsan Barra): Bagus untuk kawasan terbuka dan aksinya cepat mencetuskan sambaran ikan. Biasanya, karau terus jika tiada respons, cuba stail stop-and-go
atau karau berhenti, kemudian twitch. Hentian karauan gewang secara mendadak juga boleh men-
cetuskan serangan daripada ikan.

• Spinnerbait: Pilihan terbaik untuk kawasan bereba. Kilauan dan getarannya menarik perhatian ikan untuk keluar dari reba, sementara wayar spinnerbait membantu mengelak sangkut (weedless). Slow-roll sepanjang kayu tenggelam atau tepi rumpai air.

Sesekali, sentap hujung joran untuk menukar kelajuan putaran bilah besi spinnerbait.

• Buzzbait: Gewang topwater yang sangat sesuai untuk kawasan cetek atau kuala anak sungai. Ia ditarik laju untuk menghasilkan bunyi yang kuat supaya memanggil ikan untuk mengejarnya. Karau terus di tepi rumpair atau me­rentasi kayu tenggelam. Pastikan cukup laju untuk memastikan
bilah terus memutar di permukaan air.

• Spinner dan spoon: Bentuk yang klasik sentiasa berkesan
untuk digunakan. Getaran dan kilauan dalam air sangat menarik minat ikan. Sesudu seperti Abu Island dan Johnson sentiasa menjadi untuk toman bunga. Ia perlu dimainkan stail tenggelam ke dalam ruang-ruang kosong antara reba atau rumpai air.

Gewang boleh dikarau terus atau ditenggelamkan kemudian diangkat, ditenggelamkan semula dan diangkat lagi, mengimitasi ikan kecil yang sedang nazak.

Untuk perhatian, sambaran terhadap gewang sering berlaku ketika ia dihentikan seketika. Sama ada anda karau laju crankbait, menenggelamkan spoon atau slow-roll spinnerbait.

Kuncinya, variasikan gaya karauan dan kena sentiasa ada hentian seketika antara karauan tersebut.

Saat anda terasa ada sambaran, biarkan tip joran rendah, karau laju sehingga tali tegang, kemudian barulah sembat joran dengan kuat.

Selepas itu, bersedia dengan benaman dan putaran badan toman bunga yang sentiasa agresif sehinggalah anda berjaya mengeluarkannya dari reba serta mendaratkannya.

Ketidaktentuan itulah yang menjadikan spesies toman bunga ini begitu menggamit.

Ikan ini menghukum kesilapan tetapi memberi ganjaran kepada mereka membuat persiapan, sekali gus menghasilkan detik-detik yang akan anda ingat selama-lamanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN