MANILA – Filipina meletakkan harapan besar kepada bintang tenis sensasi berkelas dunia mereka, Alexandra Eala untuk menghadiahkan pingat emas pertama acara itu apabila dia juga diumumkan sebagai pembawa bendera pada upacara pembukaan temasya di Bangkok itu.
Pemilihannya diumumkan Presiden Jawatankuasa Olimpik Filipina (POC), Abraham Tolentino yang menyifatkan Eala sebagai simbol kebangkitan sukan negara selepas melonjak masuk ke kelompok 50 pemain terbaik dunia WTA musim ini.
Selain tersenarai sebagai pembawa bendera bersama pemain bola tampar, Bryan Bagunas, Eala menggalas reputasi besar selepas mencipta sejarah sebagai pemain Filipina pertama memenangi kejuaraan WTA serta dan berada dalam ranking tertinggi dunia.
Di Bangkok, selepas bergelar bintang tenis elit dunia, Eala pastinya memburu emas Sukan SEA apabila edisi Hanoi menyaksikannya meraih tiga gangsa dalam perseorangan, beregu campuran dan acara berpasukan wanita.
“Musim ini sangat istimewa dan saya amat bangga dengan apa yang telah saya capai. Saya juga berterima kasih kepada seluruh pasukan kerana usaha mereka akhirnya membuahkan hasil. Ia memberi saya motivasi untuk bekerja lebih keras,” kata Eala.
Eala menamatkan musim 2024 dengan rekod 40–26 dan melonjak daripada ranking ke-147 ke kedudukan ke-50 dunia, dibantu aksi separuh akhir bersejarah di Miami, kejuaraan WTA 125 di Guadalajara serta final dramatik di Eastbourne.
“Tennis mengajar saya untuk sentiasa berpijak di bumi nyata. Anda kalah hampir setiap minggu, jadi anda belajar menerima kekalahan dan bangkit semula. Apa yang saya cuba lakukan hanyalah menjadi versi terbaik diri saya,” ujarnya. – AGENSI














