SEPANG – Sah bercerai talak dua, penyanyi Nubhan tiada masalah untuk bersahabat dan tetap mahu mengekalkan hubungan baik dengan bekas isterinya, Dr. Afifah Hidayah Tawfek.
Nubhan atau nama lengkapnya Ahmad Nubhan Ahamad, 39, tumpuan sekarang adalah karier dan kebajikan anak-anak.
“Selepas ini, kami masih boleh berkawan baik demi anak-anak. Saya rasa tak ada masalah untuk berkawan, hubungan kami diharapkan masih baik.
“Fokus kami adalah untuk menjaga kebajikan anak dan besarkan mereka dengan baik, insya-Allah.
“Saya harap yang terbaiklah untuk semua pihak dan buat bekas isteri saya juga,” katanya kepada Kosmo! Online di pekarangan mahkamah hari ini.
Ditanya sekiranya masih menyimpan perasaan sayang terhadap Dr. Afifah, pelantun lagu Ada Untukmu itu enggan menjelaskan lanjut selain menegaskan hubungan mereka dalam keadaan baik.
“Saya tak boleh komen perkara (perasaan sayang) itu. Kita orang yang baik-baik sajalah,” ujarnya pendek.
Jelas Nubhan, dia bagaimanapun mengakui bersyukur proses di mahkamah pada hari ini berjalan dengan lancar.
“Perkara ini (perceraian) tak ada siapa yang nak berlaku bukan, siapa yang inginkan perkara ini berlaku.
“Tapi saya bersyukur semuanya berjalan dengan lancar, alhamdulillah.
“Doa yang terbaik sajalah untuk kehidupan kami yang seterusnya,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan Nubhan sah cerai dengan bekas isterinya buat kali kedua.
Peguam yang mewakili Nubhan iaitu Mohd Ridzuan Ramli berkata lafaz cerai pertama dilakukan pada 19 Januari 2017 dan rujuk pula pada 21 Januari 2017 manakala lafaz cerai kedua berlaku pada 26 Ogos lalu.
Terdahulu, Nubhan memfailkan pengesahan dua lafaz cerai dan satu lafaz rujuk terhadap isterinya di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, membabitkan lafaz yang berlaku pada 2017 dan 26 Ogos lalu, selain satu lafaz rujuk selepas talak pertama.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr. Afifah yang juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun. – KOSMO! ONLINE














