IPOH – Hanya 930.7 daripada 7,142.9 hektar tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) di seluruh negeri dikenal pasti berstatus syarat nyata pertanian.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 550.7 hektar telah mempunyai komitmen sewaan dan pajakan dengan pihak ketiga.
“Pada dasarnya, PKNPk tidak menjalankan aktiviti pertanian sebagai fungsi teras, namun, sebahagian tanah dalam bank tanah agensi itu terdiri daripada tanah berstatus pertanian.
“Tanah berkenaan diperoleh melalui dasar pengambilan serta perancangan pembangunan negeri,” katanya ketika menjawab soalan lisan Mohamad Husairi Ariffin (Kenering-PN) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15, di sini hari ini.
Menurut Saarani, selaras dengan keperluan pengurusan aset yang berhemah, tanah-tanah tersebut perlu diurus secara aktif bagi mengelakkan kemerosotan nilai, pencerobohan serta liabiliti penyelenggaraan yang tidak produktif.
Malah beliau berkata, bagi memastikan tanah-tanah tersebut kekal teratur, bernilai dan berimpak positif sementara menunggu pelaksanaan pembangunan strategik, PKNPk turut melaksanakan penyewaan jangka pendek sebagai instrumen pengurusan aset interim.
Tambah beliau, daripada 7,142.9 hektar tanah miliki PKNPk termasuk yang berstatus kelulusan prinsip, sebanyak 3436.5 hektar adalah di bawah inisiatif Strategic Land Value Proposition (SLVP). – KOSMO! ONLINE














