KUALA LUMPUR – Acara sooka Gilerrr Streaming Challenge yang berlangsung di Pavilion Bukit Jalil, Sabtu lalu berjaya meraih pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).
Pengikirafan itu adalah bagi kategori Peserta Terbanyak dalam Cabaran Penstriman Multitasking yang melibatkan seramai 273 peserta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith berkata, acara tersebut dianggap sangat luar biasa dengan komitmen semua peserta.
‘Ia memang luar biasa. Kita memulakan penstriman pada pukul 10 pagi dan sebahagian besar peserta kita terus kekal menonton tanpa henti sambil ‘multitasking’, melawan gangguan dan masih memastikan strim sooka mereka berjalan.
“Itu benar-benar tingkah laku “gilerrr” dan satu pencapaian hebat tentang betapa rakyat Malaysia sangat menggemari hiburan.
“Semangat inilah yang mendorong kami untuk terus membangunkan sooka dan membawa lebih banyak kandungan serta ciri baharu kepada para penonton,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penyertaan pecah rekod itu mencerminkan matlamat utama acara iaitu meraikan semangat rakyat Malaysia yang penuh tenaga dan kadangkala “gilerrr” terhadap hiburan dan sukan.
“Ini merupakan kali pertama sooka menganjurkan acara berskala besar seperti ini, dan sambutan luar biasa membuktikan betapa sooka dekat di hati penonton.
“Acara ini turut mencerminkan bagaimana penstriman telah menjadi obsesi bersama bagi ramai orang dan cabaran yang dianjurkan memberi peminat satu platform yang menyeronokkan serta kompetitif untuk menonjolkan semangat dalam menstrim kandungan yang digemari,” katanya.
Turut hadir pada acara ialah duta jenama sooka Evertts Gomes, Aiman Ameer, Wani Kayrie dan Kimberly Chuah yang meluangkan masa berinteraksi dengan para peserta dan peminat.
Program itu turut menampilkan persembahan istimewa daripada finalis Dewi Remaja, peserta Jaguh Rakan Muda, 12 Finalis Astro Star Quest, barisan pelakon Astro Originals dan sooka Shorts, serta artis termasuk Uriah See, ALPHA, Qasrina Karim, Mierul Aiman dan Khai Bahar.
Sepanjang acara berlangsung, penonton dihiburkan dengan pelbagai aktiviti, manakala peserta meneruskan penstriman sambil melalui siri cabaran fizikal yang direka untuk menguji fokus dan ketahanan mereka.

Cabaran bermula dengan “sooka says”, di mana peserta perlu mengikut arahan pantas tanpa mengalihkan mata daripada skrin.
Seterusnya, mereka berdepan pusingan gangguan “pontianak” lengkap dengan usikan bulu, lawak jenaka dan kejutan menakutkan, diikuti cabaran ‘freeze’ yang memerlukan mereka mengekalkan posisi tertentu sambil terus menstrim.
Cabaran terakhir pula menguji koordinasi dan keseimbangan apabila peserta cuba mengekalkan tin minuman di atas tangan tanpa menghentikan tontonan mereka.
Acara sooka Gilerrr Streaming Challenge berakhir dengan sesi penyampaian hadiah, di mana pemenang hadiah utama iaitu K. Vinoth Kumar berusia 28 tahun dari Cheras telah membawa pulang sebuah Proton e.MAS 5.
Peserta lain yang berjaya menamatkan setiap peringkat cabaran turut menerima ganjaran menarik termasuk TV Pintar Samsung QLED 85 inci, iPhone 17 Pro Max, MacBook Air, Monitor Permainan Samsung, PlayStation 5 Pro, DJI Pocket 3 Creator Combo, pengering rambut Dyson, headphone Sony serta kad hadiah JD bernilai RM1,000.
Sementara itu, pada acara tersebut juga, sooka turut memberikan pratonton eksklusif sooka Shorts, ciri mikrodrama baharu yang direka khas untuk penonton yang mahukan kisah menarik dan padat, sesuai untuk tontonan singkat.
Dengan populariti drama pendek kini semakin meningkat di seluruh dunia, format ini mengukuhkan kedudukan sooka sebagai peneraju kandungan mikrodrama tempatan.

Sekali gus ia memperluaskan pilihan hiburan dan memberi lebih fleksibiliti kepada penonton untuk menikmati kandungan mengikut keselesaan mereka.
Sebagai sebahagian daripada pratonton awal, penonton dapat menonton kandungan seperti Mandrem, Gadis Dihina Pemilik Empayar, Mak Kau CEO Aku, dan Raja Fitnah bermula 12 Disember ini.
Kandungan ini kemudian akan diperkukuh lagi melalui kerjasama dengan studio produksi serantau untuk menghasilkan kandungan vernakular lain, di samping kandungan mikrodrama Korea.
Episod terpilih boleh diakses secara percuma, manakala akses penuh akan ditawarkan kepada pelanggan pelan ‘Entertainment’ dan ke atas sekali gus membolehkan pelbagai penonton meneroka format baharu ini sebaik sahaja ia dilancarkan.-KOSMO! ONLINE













